Pengganti Khairul Helmi Dikenal Pasti, Tapi Benteng Kedah Tetap ‘Bergelora’

Kerjasama Semuanya BOLA

Khairul Helmi Johari Kedah FA 2015

Musim 2020, benteng dan kubu Kedah adalah yang kedua terbaik selepas Johor Darul Ta’zim (JDT), namun ianya mungkin akan melalui fasa ‘bermasalah’ selepas ini.

Selepas pemergian Shakir Hamzah, pertahanan yang boleh beraksi di dua posisi, bek tengah dan kiri, Kedah mungkin berdepan dengan dua lagi kehilangan. Dikhabarkan Irfan Zakaria mahu kembali ke Kuala Lumpur, sementara Khairul Helmi pula dikatakan akan bersara selepas 13 tahun setia menabur bakti bersama skuad Helang Merah itu.

Sepanjang karier Khairul Helmi, beliau pernah dilantik sebagai kapten untuk dua musim sebelum Baddrol Bakhtiar kembali mengambil alih peranan tersebut semula bermula pada musim 2018. Ia adalah satu penghormatan buat pemain ‘otai’ sepertinya yang merupakan antara pemain yang pernah memenangi ‘double treble’ bersama pasukan.

Beliau juga pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sebanyak lima kali sekitar tahun 2016 dan 2017. Sejak dua musim kebelakangan ini, kudratnya sudah kurang ditagih oleh Kedah, mungkin atas faktor usianya yang sudah menjengah 32 tahun.

Kemunculan bek tengah dari Singapura, Shakir Hamzah telah memaksanya untuk lebih memanaskan bangku simpanan pada musim 2019 dan pada musim ini, walaupun Shakir Hamzah banyak digunakan di posisi bek kiri selepas Azmeer Yusof ‘bersara’, tempat tersebut telah diisi dengan cemerlang oleh Irfan Zakaria.

Penggantinya sudah dikenal pasti dan menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pertahanan tengah Selangor, Rodney Calvin dikhabarkan akan berhijrah ke Alor Setar untuk musim depan. Pemain berusia 23 tahun itu baru semusim di Selangor dan telah membuat 8 penampilan bersama The Red Giants sepanjang musim ini.

Begitupun, perkhabaran baru mengenai Irfan Zakaria mungkin sedikit merungsingkan barisan kejurulatihan Kedah apabila dikatakan beliau mahu kembali untuk bersama The Hawks. Tidak dipastikan sama ada ia telah dirancang untuk beliau juga pergi meninggalkan Kedah, sebagaimana Shakir Hamzah yang dirasakan ‘perlu’ untuk pergi.

Renan Alves sudah hampir pasti akan kekal sebagai import tunggal di benteng, kerana pengendali Aidil Sharin dikatakan akan melihat posisi lain untuk pengganti slot Shakir Hamzah. Jadi, tanpa Shakir Hamzah, Khairul Helmi dan mungkin Irfan Zakaria, Kedah hanya tinggal dua pemain, Zulkhairi Zulkeply dan Loqman Hakim untuk mengisi posisi bek tengah.

Oleh itu, mereka harus memastikan urusan mendapatkan Rodney Calvin tidak gagal selain mencari pilihan lain yang memiliki lebih pengalaman. Ataupun, Aidil Sharin bersedia meletakkan Zulkhairi dan Loqman Hakim sebagai pilihan di bentengnya?

Untuk rekod, ratio bolos Kedah untuk lima musim, musim ini adalah yang terbaik iaitu 1.18 dan menyamai musim pertama mereka kembali semula ke Liga Super pada 2016, ketika dibawah bimbingan pengendali skuad kebangsaan kini, Tan Cheng Hoe.

KREDIT FEATURED IMAGE: MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT/NSTP

Baca lagi artikel mengenai Kedah Darul Aman:

Khairul Helmi: “Tak Penting Saya Ada Atau Tidak Dalam Pasukan”

Kedah FA Cari Kapten Baharu Ganti Kairul Helmi?

Khairul Helmi: “Keharmonian Dan Kesepakatan Di Dalam Pasukan, Kunci Kekuatan Kedah FA”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram