Pengarah ECK Development Harap Semua Pihak Beri Sokongan Kepada Ahmad Bashah

Penaja utama pasukan Kedah, syarikat ECK Development Sdn. Bhd. melalui pengarahnya, Puan Seri Ginney Chew melahirkan rasa kekecewaan beliau terhadap beberapa isu yang berlaku terutamanya membabitkan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), YAB Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan melalui laman facebook KFA, Ginney sangat mengambil berat terhadap apa-apa situasi yang berlaku pada pasukan Kedah dan menganggap bola sepak Kedah sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

“Saya telah memerhati dengan teliti perkembangan dalam Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) sejak syarikat ECK Development Sdn Bhd menjadi penaja utama skuad Lang Merah pada tahun ini.

“Apabila timbulnya isu sorakan negatif semasa perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017 mahupun desakan supaya YAB Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah melepaskan jawatan selaku Presiden KFA saya menjadi amat terguris.

“Saya amat kecewa perkara itu berlaku terhadap YAB Menteri Besar Kedah yang saya kenali sangat sayang pasukan Lang Merah dan beliau tidak pernah jemu memberi sokongan sepenuh hati terhadap pasukan hijau kuning itu.

“Sepanjang berkomunikasi dengan YAB Menteri Besar Kedah, saya tahu jiwa raganya sepenuh hati terhadap pasukan,” katanya.

Puan Seri Ginney juga meminta semua pihak memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Ahmad Bashah dan mahu menteri besar Kedah itu terus kekal menerajui KFA.

“Maka dengan itu saya dengan tegas dan selaku penaja utama KFA menyatakan bahawa saya meminta dengan sepenuh hati agar YAB Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah terus kekal sebagai Presiden KFA.

“Tiada individu lain yang lebih layak menduduki jawatan berkenaan melainkan beliau,” jelasnya.

Menurut Ginney lagi, Presiden KFA setakat ini sudah menjalankan tugasnya dengan cemerlang sehingga berjaya memastikan kantung kewangan pasukan sentiasa berada dalam keadaan stabil.

“YAB Menteri Besar Kedah telah menjalankan tugasnya selaku Presiden KFA dengan cermerlang, dengan pengurusan berjalan lancar dan kebajikan pemain sentiasa diambil perhatian.

“Beliau juga telah memastikan pengurusan pasukan berada dalam kedudukan yang amat baik. Beliau juga telah berusaha mencari penaja bagi memastikan kewangan pasukan tidak terganggu.

“Inilah seorang pemimpin yang diperlukan dalam menerajui persatuan bola sepak supaya semangat pengurusan dan pemain berada pada tahap tertinggi,” kata kenyataan itu.

Difahamkan Kedah kini dalam perancangan untuk membangunkan sebuah Akademi Bola Sepak untuk melahirkan lebih ramai bakat baru dalam kalangan anak muda.

“Jangan kita lupa bahawa beliau juga mempunyai perancangan yang jelas dalam membangunkan bola sepak Kedah dengan mewujudkan barisan pelapis serta melaksanakan Akademi Dato Ahmad Basri (ADAB), yang mencungkil dan mengilap bakat dikalangan anak muda.

“Ingin saya makmlumkan di sini satu sifat keterbukaan dan berlapang dada YAB Menteri Besar dalam menerima idea-idea baru dalam pembangunan bola sepak negeri,” kata Ginney.

Marcote mengendalikan sesi latihan pasukan Kedah sejak beberapa hari lalu. (Gambar: KFA)

Ginney juga menjelaskan kehadiran Ketua Jurulatih baharu Kedah, Ramon Marcote adalah hasil daripada sikap keterbukaan Ahmad Bashah yang sudi menerima sebarang cadangan dalam memperkuatkan pasukan.

“Semasa saya mencadangkan agar Kedah melantik Ramon Marcote sebagai jurulatih utama, dengan memberi keyakinan bahawa corak latihan jurulatih itu sesuai untuk pemain Kedah dan beliau mendapat reaksi positif dan sokongan padu peminat dan penyokong pasukan Kedah, YAB Menteri Besar Kedah telah menyatakan kesediaan beliau untuk mempertimbangkan usul tersebut dengan serius.

“Sekarang terbukti janji beliau ditunaikan apabila Ramon Marcote dilantik sebagai jurulatih,” ujarnya.

Pengarah ECK Develoment itu turut berkata tajaan daripada syarikatnya kemungkinan akan ditarik balik jika YAB Ahmad Bashah memilih untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden KFA.

“Penaja memerlukan sebuah pasukan dan pengurusan yang baik supaya penajaan dibelanjakan sebaiknya. Sekiranya YAB berhasrat melepaskan jawatan Presiden KFA, ECK Development Sdn Bhd juga akan membuat pertimbangan semula untuk meneruskan sumbangan dana pada KFA.

“Harapan kami YAB Menteri Besar Kedah terus menerajui KFA kerana kejayaan yang lebih hebat menanti untuk diraih pasukan Kedah,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan tersebut.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN