Pengambilalihan Jadikan EPL ‘Taman Permainan’ Jutawan Dunia, Anda Pula Penyumbang Kekayaan Mereka

Liga Perdana Inggeris (EPL) mungkin adalah liga bola sepak yang paling berevolusi dari segi ‘globalisasi’ di dalam pelbagai cara. Ini termasuklah dari segi pemilikan sehingga pada hari ini hanya lima kelab sahaja yang tidak dimiliki oleh pihak luar atau melibatkan pelabur luar secara langsung.

Tidak dapat dinafikan Premier League telah mempromosikan jenama mereka dengan meluas ke seluruh dunia selama ini. Hasilnya mereka mampu menarik labih dari 1.35 billion tontonan dari 188 negara.

Impak globalisasi

Globalisasi bola sepak Inggeris turut mempengaruhi jumlah pemain tempatan yang beraksi di England. Perkara ini menyebabkan hanya 36.1% pemain di EPL adalah orang Inggeris sendiri.

Peratusan ini menyamai jumlah pemain tempatan yang beraksi di Liga Portugal, tetapi jauh lebih rendah sekiranya dibandingkan dengan liga-liga utama di Eropah.

Sebagai perbandingan Serie A memiliki 39.3% pemain tempatan, manakala Bundesliga menampilkan 45.2% pemain lokal. La Liga pula memiliki 58.3% dan Ligue 1 menampilkan 47% pemain tempatan sahaja.

Kebetulan atau tidak, dua negara yang memiliki pemain domestik tertinggi beraksi di perlawanan akhir UEFA Nations League pada awal pagi tadi. Walaupun kebanyakkan daripada mereka tidak beraksi di negara masing-masing, ia juga adalah impak globalisasi itu sendiri yang memaksa pemain-pemain ini beraksi di liga luar.

Situasi di England

Jumlah pemain tempatan sendiri tetap rendah di England walaupun adanya peraturan Homegrown Player. Peraturan tersebut mensyaratkan setiap kelab EPL memiliki 12 pemain yang dilatih di England di dalam senarai skuad 25 pemain.

Lebih dari itu, EPL juga berjaya menarik kepakaran jurulatih (antara terbaik dunia) dan kumpulan pengurusan yang mulai menguasai dan menapak kelab-kelab bertanding.

Pep, Tuchel., Klopp

Hanya 4 daripada 20 jurulatih di Premier League adalah orang Inggeris, dan tiada di kalangan mereka adalah dari enam kelab utama (Big Six) England.

Pengambilalihan Newcastle United oleh Public Investmend Fund (PIF), konsortium milik Arab Saudi menimbulkan isu ini sekali lagi, bersama persoalanan mengenai peraturan pemilikan.

Bagi kita di Malaysia, perkara ini ibarat drama dan hiburan. Tetapi di England perkara ini membuatkan ramai tertanya-tanya bagaimana pemilikan baharu oleh Newcastle boleh diluluskan, walaupun secara realiti ia situasi yang sama dengan Manchester City.

Pemilikan dari Amerika Syarikat paling tinggi

Pada hari ini hanya Tottenham yang kekal mempunyai pemilik dari British di kalangan enam kelab utama di EPL, dan majoritinya kelab pula dimiliki oleh pemilik dari Amerika Syarikat (US) dan pemilikan dari negara-negara asing yang lain.

Arsenal, Burnley, Liverpool dan Manchester United dipegang oleh pemilik dari US sepenuhnya. Manakala 50% pegangan di Aston Villa turut dimiliki oleh US, dan bakinya daripada pemilik Mesir.

Kelab-kelab lain pula Everton (Iran), Southampton dan Wolves (China), Leicester (Thailand), Watford dan Leeds (Itali).

Pengambilalihan Chelsea oleh jutawan Rusia, Roman Abramovich adalah antara pengambilalihan terawal di EPL, dan landskap bola sepak bola sepak Inggeris tidak lagi sama selepas itu.

Manchester City misalnya mempunyai kekuatan kewangan yang sumbernya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE). Ia satu lagi pengambilalihan yang dianggap sebagai ‘gamechanger’ di EPL.

Pengambilalihan Newcastle United oleh konsortium yang dikuasai oleh Arab Saudi kini bermakna EPL memiliki dua buah kelab yang berkemungkinan berhadapan dengan implikasi kewangan pada masa hadapan.

Mengapakah pelabur luar berminat dengan kelab EPL?

Salah satu sebabnya ialah kerana mereka mampu. Ia juga disebabkan oleh kekuatan jenama yang global dan nilai pulangan yang boleh memberi keuntungan besar dari segi audio visual atau hak penyiaran.

Dengan kata lain pelabur luar ini menggunakan model ‘wang akan mampu menarik lebih banyak wang’ ke dalam kantung mereka. Perkara ini menjadikan EPL ibarat taman permainan ‘golongan jutawan’ ini untuk mendapatkan pulangan melimpah ruah.

Sebagai pelabur luar, apa yang mereka pentingkan ialah wang. Ini menyebabkan kelab-kelab bertanding semakin mampu menarik seramai mungkin bakat luar England dengan bayaran lumayan.

Konsep ‘liga ini kita yang punya’ akan berlaku, dan siapakah di kalangan mereka yang akan peduli mengenai bakat tempatan?

Sebagai perbandingan, enam kelab utama EPL pada hari ini dilihat mempunyai kekuatan kewangan seperti Real Madrid atau Barcelona pada ketika era kegemilangan dua gergasi Sepanyol itu suatu ketika dahulu.

Liga Eropah lain

Beberapa liga bola sepak yang lain memiliki syarat pemilikan yang lebih ketat menyebabkan senario seperti di England sukar berlaku. Bundesliga Jerman misalnya mengamalkan syarat 51% pemilikan harus dimiliki oleh penyokong.

Ini bermakna tidak ada pemilik kelab yang dibenarkan memiliki kawalan secara majoriti di kelab-kelab Bundesliga Jerman.

Ligue 1 pula memiliki sebuah badan khas untuk melakukan penilaian sebelum penjualan dibenarkan. Tetapi seperti di EPL ia tidak menghalang pelaburan asing yang berleluasa, dan ada di kalangan pemilikan mempunyai niat tertentu yang dipersoalkan.

Selain PSG, Bordeaux dan Marseille (US), Lille (Luxembourg), Nice (UK, Monaco (Rusia), dan Nantes (Poland) adalah antara kelab yang dimiliki oleh entiti atau individu dari luar Perancis.

Pengaruh pemilikan dari US juga dapat dirasai di Itali dengan kelab-kelab seperti Genoa, Fiorentina, Milan, Spezia, Roma, Venezia semuanya dimiliki oleh pemilik dari sana.

Bologna pula dimiliki oleh jutawan dari Kanada, manakala China menguasai Inter Milan.

Rumusan

Seperti dikatakan tadi, pelabur luar ini menggunakan model dan fahaman ‘wang akan mampu menarik lebih banyak wang’ ke dalam kantung mereka. Perkara ini menjadikan EPL ibarat taman permainan ‘golongan jutawan’ ini untuk mendapatkan pulangan melimpah ruah.

Tanpa kita sedari, golongan sasar untuk tujuan pemasaran dan kekayaan pemilik-pemilik kelab-kelab eropah ini adalah seperti anda dan saya.

Kita sentiasa asyik dengan aksi perlawanan di EPL kerana aksi perlawanan yang berkualiti ditampilkan pemain-pemain terbaik dunia. Untuk berbuat demikian, kita sanggup berbelanja besar untuk melanggan siaran digital semata-mata untuk menyaksikan perlawanan-perlawanan ini saban minggu.

Tidak ada apa yang salah mengenai itu. Siapa pun akan terpikat dengan aksi hebat pemain-pemain seperti Cristiano Ronaldo, Mohamed Salah, Harry Kane, Romelu Lukaku, Kevin de Bruyne atau Pierre-Emerick Aubameyang, dan sanggup membeli jersi-jersi pasukan yang mereka minati setiap musim.

Namun di sebalik keasyikan tersebut, janganlah kita abaikan liga domestik kita sendiri. Realitinya Liga Malaysia tidak setaraf EPL. Hanya yang gila akan menyamakan kedua-duanya.

Tetapi jika bukan kita yang memberikan sokongan kepada bola sepak kita sendiri, siapa lagi boleh kita harapkan. Mungkin tiba masanya syarikat-syarikat penyiar tempatan memberanikan diri membida hak penyiaran liga tempatan dengan harga yang lebih munasabah selepas ini.

Pulangannya bukan esok. Tetapi kita harapkan pulanggannya ialah pada masa depan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply