Pengadil Belum Terima Elaun Dari MFL Diminta Lapor Kepada FAM

Pengadil Malaysia

Isu pengadil Liga Malaysia (Liga-M) yang masih belum menerima tunggakan elaun daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta aduan rasmi dibuat kepada badan induk itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataannya kepada Bernama menjelaskan, aduan tersebut perlu dibuat melalui Unit Pengadil atau Sekretarit FAM secara bertulis dan disertai maklumat tepat seperti jumlah tunggakan untuk membolehkan pihaknya mengambil tindakan susulan.

“Berhubunglah dengan Unit Pengadil dan Sekretariat FAM secara rasmi melalui surat atau pun e-mel dengan penjelasan dan maklumat yang tepat untuk FAM mengambil langkah membantu.

“FAM boleh bertindak jika pihak pengadil mengambil langkah mengikut proses yang telah ditentukan. Sekadar melaporkan kepada media memang susah untuk ambil apa-apa tindakan sebab kita tidak tahu dengan terperinci.

“Adakah tidak dibayar tiga perlawanan, 10 perlawanan, melibatkan Liga M3, Piala FA atau mungkin dia tak hadir tapi nak tuntut, kita tidak tahu sebab tak ada maklumat,” kata Stuart.

Isu tunggakan elan pengadil sejak 14 April lalu melibatkan pengadil yang bertugas dalam Liga M3 sejak musim lepas dan juga aksi kelayakan Piala FA 2020 . Menurut pendedahan oleh Sinar Harian, ianya tertunggak sehingga tujuh ke lapan perlawanan.

Peminat bola sepak tanah air kebanyakannya telah menyalahkan FAM berhubung isu tersebut, namun Stuart menjelaskan pihaknya hanya menguruskan elaun pengadil Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Futsal serta bertanggungjawab dalam membuat pelatikan dan menguruskan pembangunan pengadil.

“FAM menyediakan semua pelantikan pengadil untuk pertandingan dan MFL menguruskan bayaran kepada pengadil,”  ujarnya lagi.

Isu seperti ini tidak sewajarnya timbul sekiranya FAM serius mahu menjayakan projek Malaysia Professional Referee System (MProRS) yang mahu menerapkan budaya pengadilan yang profesional dan konsisten pada setiap perlawanan selain penggunaan teknologi dalam meningkatkan lagi prestasi pengadil.

Namun seandainya MFL awal-awal lagi gagal bersikap profesional dalam soal pembayaran elaun pengadil, usahlah bermimpi untuk melahirkan pengadil setaraf Eropah. Mungkin projek tersebut lebih layak untuk dibakul sampahkan sahaja.

Kredit Foto: Astro Radio News

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply