Pendirian PFAM Berkenaan Gaji & Kontrak Pemain

PFAM

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dihadapi rakyat Malaysia di seluruh negara seperti diketahui memberikan impak besar kepada keseluruhan kehidupan kita. Keadaan itu tidak terkecuali juga buat para pemain bola sepak tempatan.

Ia berikutan segala pergerakan atau aktiviti Liga Malaysia terpaksa dihentikan termasuklah sesi latihan pasukan yang membuatkan pelbagai desas-desus kedengaran pada ketika ini terutamanya berhubung isu pembayaran gaji.

Sebagai respon kepada kenyataan bersama dikeluarkan oleh FAM dan MFL yang meminta agar setiap pihak bertolak ansur demi menjaga kestabilan kewangan kelab, pihak Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) telah mengemukakan pandangan berbeza dari kaca mata pemain bola sepak sendiri.

Berikut adalah beberapa perkara menjadi perhatian barisan kepimpinan PFAM yang terdiri daripada Mohd Safee Mohd Sali (Presiden), Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Mohd Razman Roslan, Mohd Farizal Marlias, Khairul Fahmi Che Mat, Zaquan Adha Abdul Radzak, S. Subramaniam dan Shahrul Mohd Saad.

1) Kami (PFAM) berpendirian bahawa kontrak perlu dihormati dan dipatuhi sepertimana yang dipersetujui terutamanya berhubung isu pembayaran gaji.

2) Selaku pemain bolasepak profesional, kami juga terkesan dengan situasi yang berlaku.

3) Dengan PKP yang dilaksanakan ini, kami masih terikat dengan pelbagai komitmen dan hakikatnya ada berlaku penambahan kos dalam kehidupan seharian.

4) Perlu diingatkan, bukan semua dalam kalangan pemain mendapat gaji yang besar, dan sememangnya keperluan gaji amat mustahak di waktu ini.

5) Ada yang terpaksa berbelanja lebih untuk menjaga isi rumah, ada juga yang terpaksa menanggung ahli keluarga yang tidak mempunyai pendapatan di waktu PKP ini dan pelbagai lagi hal-hal peribadi yang lain.

6) Belum lagi dikira para pemain yang masih tidak mendapat gaji walau sebelum penangguhan liga berlaku.

7) Dan seperti semua maklum, pasukan-pasukan yang memberi bayangan untuk pemotongan gaji adalah dalam kalangan pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji.

8) Kita baru sahaja digemparkan dengan pendedahan pemain-pemain dari Skuad Piala Presiden dan Belia Kelantan bagi musim 2019 yang masih tidak mendapat gaji mereka.

9) Kita juga dimaklumkan bahawa pasukan Melaka United telah dipotong mata atas kegagalan melunaskan bayaran seperti yang dijanjikan.

10) Maka apakah nasib dan pilihan yang ada buat para pemain yang terkesan ini untuk kelangsungan hidup mereka?

11) Tanpa mahu mencetuskan polemik antara pasukan dan pemain, dengan penuh hormat, kami menggesa agar pihak pasukan melunaskan tanggungjawab mereka selaku majikan.

12) Isu potongan gaji mahupun penangguhan gaji (jika ada), tidak seharusnya dibangkitkan ketika ini.

13) Kami agak berdukacita, dengan segala usaha yang kami lakukan demi pasukan, bermain dengan sepenuh hati, berjuang tanpa henti, merisikokan diri dengan kecederaan yang boleh menutup karier kami, mematuhi segala arahan dan obligasi di dalam kontrak, tetapi ketika kita semua berhadapan ancaman segetir ini, ada pasukan melihat kami sebagai liabiliti.

14) Sehubungan itu, adalah sangat tidak adil, menjadikan para pemain sebagai ‘mangsa’ untuk survivaliti kewangan pasukan.

15) Oleh itu, dengan kesepakatan yang ada, kami menyatakan pendirian kami bahawa kami tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk melakukan pemotongan gaji dan bertegas agar kontrak dipatuhi sebaiknya.

16) Kami berharap agar pihak pasukan dapat meneruskan pembayaran gaji sepertimana yang termeterai di dalam kontrak, dan segera melunaskan bayaran untuk pemain yang menghadapi tunggakan bayaran.

17) Di kesempatan ini juga, kami ingin mengingatkan kepada semua ahli PFAM agar sentiasa mematuhi arahan PKP, dan juga sentiasa memastikan kesihatan serta kecergasan dalam keadaan yang optimum – sepertimana yang dikehendaki di dalam kontrak masing-masing.

18) Sentiasalah menjaga nama baik pasukan walaupun kita berada dalam keadaan pergerakan yang terhad.

Dalam pada itu pihak PFAM turut mengucapkan syabas dan melahirkan rasa gembira dengan inisiatif yang dilakukan oleh sahabat-sahabat mereka di JDT, dengan menyumbangkan sebahagian gaji mereka bagi membantu pihak yang memerlukan.

Kepada ahli yang ingin memberikan sumbangan sempena COVID-19, boleh terus berhubung dengan PFAM, dan sumbangan akan disalurkan kepada pihak-pihak yang memerlukan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply