Penang FC ‘Borong Sakan’ Pemain Untuk Saingan Liga Super

Penang FC Liga Super 2021

Penang FC akan kembali mewarnai saingan Liga Super musim depan dan menariknya, mereka membawa masuk sejumlah pemain baharu untuk mengukuhkan pasukan.

Pemain-pemain baharu itu dilihat bukanlah semata-mata tangkap muat, tetapi nampak seakan-akan ianya telah dirancang awal selepas mereka sah kembali ke Liga Super. Antara pemain baharu yang telah sah menyertai pasukan adalah pemain import, Ryuji Utomo dan Sheriddin Boboev serta beberapa kelibat pemain tempatan.

Ryuji Utomo adalah pertahanan kacukan Indonesia-Jepun yang dipinjam daripada kelab dari Indonesia, Persija Jakarta, sementara penyerang muda, Sheriddin Boboev pula telah dibawa masuk daripada kelab gergasi di Tajikistan Higher League, FC Istiklol.

Ryuji Utomo merupakan pemain Persija sejak 2017 dan hanya sempat membuat dua penampilan musim ini sebelum Liga 1 Indonesia terhenti akibat pandemik COVID-19. Dan dek kerana liga yang dikatakan bakal terus digantung untuk tahun 2021, pemain ini akhirnya terpaksa dipinjamkan keluar untuk mendapatkan aksi.

Sheriddin Boboev pula hadir dengan reputasi penyerang muda yang memiliki rekod jaringan yang baik. Beliau merupakan penjaring terbanyak Tajikistan Higher League musim 2019 dan telah merekodkan 41 gol dalam 70 penampilan bersama FC Istiklol.

Kedua-duanya bakal melengkapkan gandingan lima pemain import bersama-sama tiga pemain yang dikekalkan pada musim lalu iaitu penyerang sensasi dan penjaring terbanyak Liga Premier 2020, Casagrande, Endrick dos Santos dan Rafael Vitor.

Untuk pemain tempatan, setakat ini, Penang FC telah mengumumkan beberapa pemain iaitu dari Selangor 2, Quentin Cheng,  Danial Ashraf, Azwan Aripin dan Khairul Asyraf Ramli (Kelantan), Fadhil Idris (FELDA United), C. Suwarna Raj (Perak II) dan penjaga gol, Bryan See Tian Keat (PDRM) selain Jafri Firdaus Chew.

Jafri Firdaus Chew kembali ke pangkuan Penang FC selepas meninggalkan pasukan pada musim 2018 untuk bersama PKNS FC. Musim lalu, beliau langsung tidak beraksi apabila telah dilepaskan Kedah selepas diumumkan sebagai pemain baharu mereka.

Namun, ini mungkin adalah antara pemain-pemain pilihan bekas pengendali, Manzoor Azwira mengikut kesesuaian taktikalnya. Musim depan, beliau hanya akan bertindak sebagai penolong jurulatih selepas tidak mendapat restu untuk meneruskan khidmatnya, akibat ketiadaan Lesen Pro A yang diwajibkan buat pengendali pasukan Liga Super.

Adakah pengendali baharu yang ‘terpaksa’ dibawa masuk, Tomas Trucha akan berjaya menggabungkan pemain-pemain itu di Penang FC untuk beraksi di Liga Super?

KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC

Baca lagi artikel lain mengenai Penang FC:

Pernah Dikaitkan Dengan Kelantan, Ini 3 Fakta Pengendali Baharu Penang FC, Tomas Trucha

RASMI: Penang FC Bawa Masuk ‘Ubi Muda’ Tajikistan, Sheriddin Boboev

Empat Tonggak Pulau Pinang ‘Ditambat’ Semula Termasuk Casagrande

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply