Penang FA Kempunan Ke Liga Super Selepas Dipotong 6 Mata

Baharu sahaja malam tadi Pulau Pinang bergembira kerana berjaya kembali ke saingan Liga Super pada musim hadapan. Ini selepas skuad Harimau Kumbang itu menewaskan PDRM 2-1 di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Kurang 24 jam selepas melakar sejarah penuh bergaya itu – dari pasukan yang terumbang-ambing pada awal musim, dan kini menamatkan saingan di kedudukan ke-3 Liga Premier – Pulau Pinang telah dinafikan hak untuk ke saingan Liga Super musim hadapan.

Kedudukan LP 2019
FOTO: MFL

Ini adalah selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima arahan daripada FIFA untuk pasukan itu dipotong enam mata, sekaligus jatuh ke tangga ke-7 dengan 24 mata.

Berikut adalah kenyataan rasmi daripada FAM berkenaan isu tersebut:

Kenyataan Rasmi FAM

Saingan Liga Premier 2019 melabuhkan tirainya malam tadi dengan kesemua 11 pasukan masing-masing telah pun menamatkan 20 perlawanan mereka musim ini.

Jika mengikut kiraan mata, Pulau Pinang berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga berkongsi 30 mata dengan PDRM di tangga keempat, berdasarkan kelebihan perbezaan gol.

Namun mengikut arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa mengumumkan bahawa pasukan Pulau Pinang secara serta merta dipotong enam mata dalam saingan Liga Premier 2019 menjadikan jumlah mata muktamad mereka adalah 24 mata, jatuh ke tangga ketujuh.

Hukuman daripada FIFA dikeluarkan selepas Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bagi menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pemain pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo yang beraksi bersama pasukan Pulau Pinang selama tiga musim dari 2015 hingga 2017.

Pada 25 Mac 2019, FIFA telah menghantar keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mengarahkan supaya FAP membayar kepada Reinaldo sebanyak USD90,000 bersama faedah sebanyak 5%. FIFA juga telah mengenakan denda tambahan sebanyak USD10,000 kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti yang telah diarahkan oleh NDRC FIFA. Kegagalan FAP membuat pembayaran tersebut dalam masa 30 hari akan menyebabkan pemotongan mata di dalam liga sebanyak 6 mata.

Pada 17 April 2019, FAP telah membuat pembayaran berjumlah USD92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Reinaldo. Pembayaran tersebut telah dibuat oleh FAP secara terus kepada Reinaldo tanpa melalui FAM.

Bagaimanapun pada 29 April 2019, peguam Reinaldo telah menghantar surat kepada FIFA yang memaklumkan bahawa telah menerima pembayaran daripada FAP dengan bayaran sebanyak USD92,597.72. Namun, peguam Reinaldo memaklumkan bahawa pembayaran penuh yang sepatutnya adalah sebanyak USD97,041.83 iaitu baki bayaran sebanyak USD4,444.11 lagi yang perlu dibayar oleh FAP. Salinan surat berkenaan hanya dihantar kepada FAP tanpa ia dihantar kepada FAM, sekali gus FAM tidak menerima sebarang maklumat mengenai hal tunggakan baki bayaran tersebut.

Pada 28 Jun 2019, FIFA menghantar surat kepada FAM yang memaklumkan bahawa FAP telah gagal membuat pembayaran dalam tempoh yang telah diberikan. Untuk itu, FIFA menuntut bukti pemotongan 6 mata liga dihantar kepada mereka selewat-lewatnya pada 3 Julai 2019. Di sini FAM telah pun membuat rayuan pertama dengan fakta tambahan untuk FIFA pertimbangkan iaitu mengenai berlakunya kekeliruan dalam kadar pertukaran wang asing yang mana FAP merujuk kepada kadar yang termaktub di dalam kontrak pemain manakala FIFA merujuk kepada kadar semasa.

Seterusnya pada 1 Julai 2019, FAP telah membuat baki bayaran kepada Reinaldo, namun wang tersebut mengambil masa untuk pemprosesan penghantaran ke akaun bank beliau di Brazil.

Pada 1 Julai 2019 itu juga, peguam Reinaldo telah memaklumkan kepada FIFA bahawa mereka akan memaklumkan baki bayaran tersebut sudah diterima sepenuhnya hanya apabila penghantaran wang tersebut diproses sepenuhnya ke akaun bank Reinaldo dan pada masa yang sama memaklumkan tidak mempunyai halangan sekiranya hukuman FIFA itu ditangguhkan terlebih dahulu.

Sebagai tindakan susulan, FAM telah menghantar surat rasmi kepada FIFA pada 2 Julai 2019 untuk meminta pandangan mereka serta status permohonan daripada Reinaldo sama ada hukuman tersebut boleh ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian penerimaan baki pembayaran itu.

Pada 3 Julai 2019 iaitu tarikh sepatutnya hukuman potongan mata itu dibuat, peguam Reinaldo memaklumkan bahawa baki bayaran tersebut masih dalam proses perpindahan di dalam akaun pengadu dan tidak mempunyai halangan supaya hukuman tersebut ditangguhkan terlebih dahulu.

Hari berikutnya iaitu pada 4 Julai 2019, FAM sekali lagi telah menghantar surat rayuan kedua kepada FIFA supaya meneliti semula hukuman yang diberikan disebabkan pembayaran tersebut telah dibuat sepenuhnya dan dengan mengambil kira langkah-langkah proaktif yang telah diberikan oleh FAP dalam menyelesaikan baki tunggakan tersebut.

Pada 10 Julai 2019, peguam Reinaldo juga telah memberi pengesahan bahawa bayaran tersebut tersebut sudah pun diselesaikan sepenuhnya dan memohon supaya kes ini ditutup dan tindakan tatatertib terhadap FAP dibatalkan.

Namun pada 17 Julai 2019, FAM telah menerima surat daripada FIFA yang memaklumkan bahawa hukuman pemotongan enam mata terhadap FAP itu perlu dibuat selewat-lewatnya sebelum 22 Julai 2019 kerana walaupun pembayaran telah diselesaikan sepenuhnya akan tetapi FAP telah melanggar perintah FIFA yang mengarahkan pembayaran penuh perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan asal. FAM sekali lagi pada 18 Julai 2019 telah pun membuat rayuan ketiga kepada FIFA.

Tetapi hari ini, hari terakhir untuk membuat potongan mata seperti diarah oleh FIFA dan dengan rayuannya didapati masih tidak diterima FIFA, FAM pada hari ini terpaksa juga memajukan surat arahan daripada FIFA tersebut kepada Malaysian Football League (MFL) untuk badan pengendali Liga Malaysia itu mengeluarkan surat rasmi pemotongan enam mata kepada pasukan Pulau Pinang dalam saingan Liga Premier 2019.

Meskipun FAM telah mengemukakan tiga rayuan kepada FIFA, FAM sedikit kesal kerana FIFA tetap bertegas mahu hukuman pemotongan mata itu dilakukan sedangkan FAP sudah menyelesaikan bayarannya yang mana disebabkan prosedur kadar tukaran mata wang asing dan proses pemindahan wang ke akaun luar negara menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.

Dalam hal ini, FAM amat bersimpati dengan FAP dan pada masa sama tetap menghargai usaha yang dilakukan oleh pengurusan baharu FAP untuk cuba menyelesaikan juga kes lama ini dengan berjaya membayar sebanyak USD97,085.05 yang membabitkan tunggakan gaji akibat kecuaian pengurusan lama mengurus kes bekas pemain importnya itu.

Namun hanya akibat sedikit kesilapan dalam menyemak kadar tukaran mata wang asing mengikut kadar semasa dan kelewatan proses menyelesaikan baki tuntutan sebanyak USD4,444.11, mereka telah menerima hukuman daripada FIFA ini.

Dengan apa yang berlaku ini, sama juga seperti apa yang dialami Kelantan apabila dipotong tiga mata pada 11 April 2019, FAM sekali lagi ingin menasihat dan memberi peringatan kepada ahli-ahli gabungan yang lain supaya jangan sesekali mengambil mudah arahan berkaitan hukuman yang telah dijatuhkan oleh FIFA atau AFC.

Ini kerana, kesan dan akibatnya nanti terpaksa ditanggung oleh pasukan masing-masing apabila pemotongan mata terpaksa dilakukan, sekali gus menjejaskan kedudukan pasukan dalam saingan liga.

Penutup

Kes sebegini sememangnya pahit dan sukar untuk Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, barisan pemain yang telah berjuang sehabis-habisnya dan juga penyokong yang tidak pernah membelakangkan pasukan walaupun di saat sukar.

Jika ada perkara yang boleh kita pelajari daripada perkara ini, Pulau Pinang hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana semua ini berpunca dari kesilapan sendiri.

Semoga bola sepak Pulau Pinang terus bangkit selepas ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN