Penampilan Sulung Meyakinkan Dari John Terry, Perkembangan Menarik Buat Aston Villa

Penampilan sulung bekas kapten dan juga legenda Chelsea, John Terry bersama Aston Villa direncatkan dengan kekalahan 2-1 kepada Shrewsbury Town dalam kunjungan pra-musim di Greenhous Meadow. 

Terry yang diumumkan akan menjadi kapten buat pasukan musim ini beraksi cemerlang bersama Alan Hutton di jentera pertahanan sebelum dikeluarkan pada minit ke-61.

Aston Villa tidak dibolosi sebarang gol ketika Terry beraksi namun selepas beliau digantikan oleh Micah Richards, gawang mereka dibolosi 2 gol.

Penjaga gol Aston Villa, Sam Johnstone kurang diuji ketika John Terry mengemudi bahagian pertahanan.

Walaupun hanya sekadar perlawanan pra-musim namun aksi yang dipamerkan Terry pada perlawanan ini membuktikan bahawa kehadiran beliau di Villa Park sangat diperlukan.

John Terry
Sumber : Getty Images

Walau apa yang terjadi pada musim baru ini, John Terry pasti akan menjadi tarikan buat pasukan. Keadaan itu jelas terpancar apabila pasukan tiba sebelum perlawanan di Shrewsbury.

Terry sempat melayan peminat cilik Shrewsbury Town yang mahukan tandatangan beliau sebelum memasuki stadium dan memanaskan badan.

Beliau juga kini disayangi peminat Aston Villa kerana memilih untuk menyertai kelab tersebut dan menolak tawaran untuk bermain bersama seteru ketat, Birmingham City.

Shrewsbury Town yang beraksi dalam English Football League One berjaya menghasilkan jaringan menerusi tandukan Zak Jules dan kemudian Arthur Gnahoua menambah jaringan kedua.

Bekas produk keluaran Arsenal, Henri Lansbury menyempurnakan sepakan penalti pada lewat permainan bagi jaringan saguhati buat Aston Villa.

Ini merupakan perlawanan ke-3 buat Aston Villa dalam aksi pra-musim selepas menang menentang AFC Telford United and Kidderminster Harriers.

Sumber

Mail Online (2017) – http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-4699366/John-Terry-makes-Aston-Villa-debut-pre-season-friendly.html

Birmingham Mail (2017) – http://www.birminghammail.co.uk/sport/football/match-reports/shrewsbury-town-2-aston-villa-13336928

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram