Pemilihan ‘Molten’ Jadi Punca Prestasi Kurang Menjadi Malaysia?

Persahabatan Malaysia Bahrain Bola Molten 2021

Seorang penulis sukan di Malaysia, Lee Seng Foo, mengutarakan pendapat tentang penggunakan bola Molten yang mungkin mengganggu permainan skuad negara.

Dalam perlawanan persahabatan awal pagi tadi, Malaysia tewas 0-2 kepada Bahrain walaupun cuba mempamerkan permainan yang sangat baik di babak pertama. Dua kesilapan individu telah menjadi punca kekalahan pertama selepas ‘rehat’ 18 bulan.

Kali terakhir skuad negara tewas adalah pada Oktober 2019 dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 iaitu kalah 0-1 kepada Vietnam. Selepas itu, Malaysia mendapat momentum terbaik apabila menang ke atas Thailand dan Indonesia.

Akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, segala aktiviti bola sepak tertunda yang menyaksikan saingan kelayakan tertangguh lebih setahun. Bahrain menjadi pasukan pertama menewaskan Malaysia selepas melalui rehat panjang.

Kritikan atas jenis bola yang digunakan bukanlah perkara baharu dalam bola sepak. Pengurus finalis UEFA Champions League, Manchester City, Pep Guardiola pernah menempelak jenis bola yang digunakan dalam saingan Carabao Cup musim 2017/18.

Dalam perlawanan tersebut, Man City menang 4-1 ke atas Wolves menerusi penentuan sepakan penalti. Kata Pep sejurus perlawanan, “Bola itu tidak layak untuk pertandingan tahap tertinggi. Ia terlalu ringan dan sukar dikawal. Ia bukan bola yang bagus.”

“Sangat mustahil menjaringkan gol dengan bola itu,” ungkap Pep tentang bola yang digunakan dalam saingan itu iaitu Mitre sambil menambah yang jika untuk pemasaran dan wang, ia mungkin bagus tetapi untuk pertandingan, ia tidak boleh diterima.

Kapten Manchester City ketika itu, Yaya Toure turut senada dengan pengendalinya. “Sejujurnya, saya tidak sukakannya [bola Mitre]. Sepatutnya ia lebih baik tetapi bola itu terlalu ringan. Malah, negara saya juga tidak gunakan bola sebegitu,” tegas Yaya Toure.

Seng Foo yang juga merupakan Pengarah Urusan StadiumAstro dilihat mengeluarkan pendapatnya di Twitter selepas berbual bersama seorang pengguna Twitter, Anas Mirza tentang penggunaan bola yang mungkin mengganggu permainan Malaysia.

Its Molten. Memang agak licin sedikt dan kurang stabil berbanding jenama ternama lain,” jelas Anas Mirza tentang persoalan bola apa yang digunakan untuk perlawanan tersebut yang tampak menyukarkan pemain skuad negara membuat hantaran.

Dan menurut Seng Foo lagi, dalam 10 aksi terakhir Harimau Malaya, lima daripadanya akan dimenangi oleh Malaysia apabila menggunakan bola Nike. “Jadi, ini menimbulkan persoalan, adakah pemain kita bergelut dengan bola selain jenama Nike,” ujarnya.

Dalam sesi latihan skuad negara, Malaysia menggunakan Nike Flight dan Nike Strike, yang dijelaskan oleh Anas Mirza, merupakan antara paling stabil dalam dunia.

Tambahnya lagi, hasil semakannya, tiada bola rasmi untuk saingan kelayakan dan ia terpulang kepada tuan rumah. Hasil semakannya lagi, UAE juga menggunakan jenama yang sama dengan Malaysia iaitu Nike Strike dalam aksi-aksi sebelum ini.

Jadi, adakah itu berita baik untuk skuad negara? Selain itu, jika dilihat beberapa pemain kerap terjatuh antaranya Mohamadou Sumareh dan Corbin Ong. Tan Cheng Hoe wajar melihat juga isu kecil sebegini dalam memacu permainan Harimau Malaya.

Begitupun, ini hanya pendapatnya antara faktor skuad Harimau Malaya adakalanya bergelut terutamanya di babak kedua. Mungkin Bahrain tiada masalah kerana dapat dilihat mereka memang sudah biasa menggunakan Molten sebagai bola rasmi.

Baca lagi artikel terkini lain mengenai skuad kebangsaan:

5 Sebab Harimau Malaya Harus Optimis Mampu Raih Keputusan Positif

Ini ‘Benchmark’ Yang Ditinggalkan Brendan Gan Buat Penggantinya Nanti

5 Sebab Mengapa Harimau Malaya Perlukan Dion Cools

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply