Kenali Pemain Yang Menjulang Trofi EPL Bersama Dua Kelab Berbeza

Trofi EPL

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 sudah pun melabuhkan tirainya awal pagi tadi dengan Manchester United dan Chelsea melengkapkan dua lagi slot ke kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.

Sementara itu, Bournemouth dan Watford pula dirundung kekecewaan apabila terpaksa mengikuti jejak langkah Norwich City yang tergelincir ke pentas EFL Championship 2020/21.

Seperti yang diketahui lebih awal, Liverpool pula cemerlang selepas dinobatkan selaku juara ketika aksi EPL masih lagi berbaki tujuh perlawanan untuk ditamatkan dan menutup saingan musim ini dengan 99 mata hasil 32 kemenangan, tiga keputusan seri dan tiga kekalahan dicatatkan sepanjang musim.

Kejayaan bersejarah buat The Reds itu juga menyaksikan pemain berpengalaman, James Milner secara peribadi telah menjulang trofi EPL buat kali ketiga. Ia menjadikan Milner sebaris dengan 10 pemain lagi yang berjaya menjuarai kempen EPL dengan dua pasukan berbeza.

10 pemain lain yang turut merasai pengalaman yang sama seperti Milner ialah seperti berikut:

1) Riyad Mahrez (Leicester City & Manchester City)

Pemain sayap lincah kelahiran Perancis ini merupakan antara nadi kepada kejutan hebat dilakarkan Leicester City yang berjaya menjuarai saingan musim 2015/16.

Embed from Getty Images

Mahrez kemudiannya dipancing kelab gergasi EPL, Manchester City pada musim lalu dengan yuran perpindahan bernilai £60 juta. Tidak perlu menunggu lama, Mahrez sekali lagi menjulang trofi liga paling popular di dunia itu pada musim pertamanya di Etihad Stadium.

2) N’Golo Kante (Leicester City & Chelsea)

Sama seperti Mahrez, Kante juga merupakan sandaran utama Claudio Ranieri dalam membawa detik yang pastinya tidak akan dilupakan oleh para penyokong The Foxes dan tidak terkecuali peminat EPL di seluruh dunia.

Kualiti hebat yang dipamerkan Kante dalam mengemudi jentera tengah The Foxes telah membuka mata Chelsea untuk membawanya ke Stamford Bridge pada musim berikutnya bagi menggantikan Ramires.

Langkah yang boleh dikatakan cukup bertuah kerana Chelsea pula berjaya memenangi gelaran juara liga pada musim 2016/17 dan menjadi kejayaan ‘back to back’ buat Kante dalam tempoh dua musim tersebut.

3) Robert Huth (Chelsea & Leicester City)

Pemain pertahanan dengan ketinggian 1.91 meter ini turut merupakan salah seorang daripada skuad Leicester City yang muncul juara Liga Perdana Inggeris 2015/16.

Beraksi sebanyak 35 perlawanan dalam aksi liga, Huth nyata merupakan ‘orang kepercayaan’ Ranieri di jentera pertahanan kelab tersebut pada ketika itu.

Sedikit berbeza dengan dua bekas rakan sepasukannya itu kerana Huth pernah merasai nikmat selaku juara liga apabila beliau menjulang dua trofi EPL ketika menyarung jersi Chelsea pada musim 2004/05 dan 2005/06.

4) Kolo Toure (Arsenal & Manchester City)

Bekas pertahanan kental yang kini sudah berusia 39 tahun adalah pemain yang pernah beraksi untuk tiga kelab besar di England iaitu Arsenal, Manchester City dan Liverpool.

Menarik untuk diperkatakan, Toure merupakan sebahagian daripada anggota ‘The Invincibles’ yang muncul selaku pemenang EPL musim 2003/04. Selepas tujuh musim menabur bakti buat The Gunners, Toure memilih untuk berhijrah ke Manchester City pada musim 2009/10.

Satu lagi detik bersejarah dirasai Toure dan Manchester City apabila berjaya menjuarai saingan EPL 2011/12 sekaligus menamatkan penantian untuk memenangi gelaran juara liga buat pertama kali sejak tahun 1968.

5) Gael Clichy (Arsenal & Manchester City)

Anggota skuad ‘The Invincibles’ Arsenal ini meninggalkan The Gunners untuk menyertai Manchester City pada musim 2011/12 yang merupakan titik tolak kepada kebangkitan kelab tersebut di pentas bola sepak England.

Selain daripada kejayaan musim 2011/12, Clichy turut membantu The Cityzens muncul juara pada edisi 2013/14 bagi menjadikan tiga koleksi medal kejuaraan EPL dimiliki sepanjang kariernya.

6) Carlos Tevez (Manchester United & Manchester City)

Memulakan kembaranya dalam saingan EPL bersama West Ham United, Tevez kemudiannya memilih untuk menyarung jersi Manchester United pada musim 2007/08.

Bersama Manchester United, pemain kelahiran Buenos Aires itu telah menjadi tonggak pasukan dalam menjuarai saingan liga buat dua musim berturut-turut [2007/08 & 2008/09].

Embed from Getty Images

Dua musim yang cemerlang masih tidak mampu menghalang Tevez untuk berhijrah ke musuh setempat, Manchester City yang mana langkah tersebut boleh dikatakan sebagai keputusan kontroversi diambil olehnya.

Tevez kemudiannya menjulang trofi EPL buat kali ketiga pada musim 2011/12, pada ketika itu Manchester City dibimbing oleh Roberto Mancini.

7) Nicolas Anelka (Arsenal & Chelsea)

Bekas penyerang berbisa yang bergelar ‘pemain nomad’ ini telah beraksi bersama 12 kelab berbeza sepanjang karier profesionalnya.

Anelka bukanlah sebahagian daripada skuad ‘The Invincibles’ Arsenal tetapi tetap pernah memenangi kejuaraan EPL bersama kelab yang berpengkalan di London itu pada musim 1997/98.

Selepas 14 tahun, beliau kembali dengan satu lagi kejuaraan EPL apabila menjadi tonggak utama buat Chelsea ketika menjuarai kempen liga musim 2009/10.

8) Ashley Cole (Arsenal & Chelsea)

Sebelum menikmati karier yang boleh dikatakan begitu cemerlang bersama Chelsea, Ashley Cole mula mencipta nama bersama Arsenal apabila beliau mendapat kepercayaan Arsene Wenger ketika The Gunners muncul juara EPL 2001/02 dan 2003/04.

Embed from Getty Images

Selepas ‘disailang’ oleh Jose Mourinho bagi membawanya ke Stamford Bridge pada musim 2006/07, Cole membantu Chelsea menjuarai saingan 2009/10.

9) Henning Berg (Blackburn Rovers & Manchester United)

Legenda pertahanan ini menjadi pemain pertama yang menjulang trofi EPL bersama dua kelab berbeza apabila beliau memenanginya ketika bersama Blackburn Rovers pada musim 1994/95.

Beliau yang kemudiannya menyertai Manchester United telah mendakap kejuaraan liga buat dua musim berturut-turut pada 1998/99 dan 1999/00.

10) Mark Schwarzer (Chelsea & Leicester City)

Bekas penjaga gol veteran yang kini merupakan antara pundit di Stadium Astro itu berjaya menjulang trofi bersama Chelsea [2014/15] dan Leicester City [2015/16] secara ‘back to back’.

Bagaimanapun, beliau tidak layak untuk menerima medal kejuaraan kerana langsung tidak beraksi dalam saingan liga pada musim tersebut.

Pengendali Chelsea ketika itu, Jose Mourinho bagaimanapun memberikan replika medal kejuaraan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan Schwarzer dan beliau turut dijemput menghadiri majlis makan malam meraikan kejayaan musim 2014/15 itu.

Kredit featured image: Laurence Griffiths/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN