Pemain Sarawak United Buka Langkah Tuntut Gaji Tertunggak Kepada Pasukan

Sarawak United

Para pemain skuad Liga Premier, Sarawak United telah membuka langkah untuk menuntut gaji mereka yang tertunggak selepas janji yang diberikan oleh presiden kelab tidak ditepati.

Menurut siaran yang dikeluarkan oleh Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) di Facebook, sekumpulan para pemain Sarawak United telah tampil kepada mereka dan membuat aduan kepada badan tersebut untuk mendapatkan hak mereka.

PFAM juga telah memulakan proses surat-menyurat kepada pengurusan Sarawak United untuk mendapatkan maklum balas.

“Kami di PFA Malaysia telah pun menerima aduan secara rasmi daripada para pemain Sarawak United FC dan secara rasminya juga telah memulakan proses surat menyurat terhadap SUFC,” kata PFAM di Facebook.

Dalam masa yang sama, PFAM turut memuji keberanian anak-anak buat E. Elavarasan yang akhirnya berani tampil ke depan untuk mendapatkan hak mereka.

Pada hemat PFAM, perbuatan ini adalah lebih baik berbanding hanya meluahkan perasaan di media sosial sahaja.

Janji tinggal janji

Tindakan yang dilakukan oleh para pemain Sarawak United ini berkemungkinan berakar umbi dengan janji yang dibuat oleh presiden kelab iaitu Dato Posa Majais baru-baru ini.

Dalam laporan Sarawak Crocs sebelum ini, Posa mengatakan yang masalah tunggakan gaji akan diselesaikan sebelum bulan Oktober berakhir.

Malah apa yang dikatakan oleh Posa itu dibuat sebelum beliau terbang ke Mongolia bersama skuad B-22 negara dalam kelayakan Piala Asia B-23 di sana.

Posa juga sebelum ini mengatakan yang pihaknya telah membayar sebahagian tunggakan gaji menerusi pendahuluan yang diberikan kepada pemain pasukannya.

Sarawak United kini bakal menghadapi saingan suku akhir Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

Namun dengan kemelut sedemikian, ianya akan membuatkan motivasi dalam kalangan pemain goyah dalam usaha untuk mendapatkan kejuaraan.

DIharap kes ini akan diselesaikan dengan sebaiknya.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply