Pemain Liga Belanda Lancar Protes ‘Seminit’ Bagi Menentang Isu Perkauman

Pemain-pemain bola sepak di dua divisyen teratas liga Belanda tidak akan bermain dalam seminit pertama perlawanan yang akan berlangsung pada hujung minggu ini untuk memberi kesederaan dan peringatan mengenai isu perkauman.

Idea itu hadir selepas berlaku ejekan perkauman terhadap pemain Excelsior, Ahmad Mendes Moreira oleh penyokong Den Bosch pada perlawanan Ahad lepas.

Ketika semua pemain dalam liga Eredivisie dan Eerste Divisie berdiri di atas padang, mesej yang tertulis ‘Perkauman? Jadi Kami Tidak Akan Bermain Bola Sepak’ akan terpampang pada skrin yang ada di setiap stadium.

Tambahan seminit akan diberikan pada masa tambahan separuh masa pertama.

Penghinaan terhadap Moreira itu mendapat perhatian pemain antarabangsa Belanda termasuk penyerang Lyon, Memphis Depay dan pemain tengah Liverpool, Geoginio Wijnaldum.

Wijnaldum yang mencatat hatrik ketika membantu pasukan negaranya membenam Cyprus 5-0 tempoh hari telah meraikan jaringan dengan membandingkan warna kulitnya dengan rakan sepasukan, Frenkie de Jong.

Kelab Den Bosch secara rasmi telah membuat permohonan maaf kepada Moreira kerana mendakwa pemain itu ‘salah faham’ dengan bunyi gagak sewaktu perlawanan divisyen kedua itu sedang berlangsung.

Pengadil kemudian membawa pemain itu keluar dari padang selepas perlawanan berlangsung selama sejam. Badan pengurusan liga Belanda sudah membuka kertas siasatan selepas berlaku insiden berkenaan.

Beberapa siri insiden perkauman semakin kerap berlaku di Eropah sejak kebelakangan ini sama ada dalam perlawanan peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram