Pemain Bola Sepak Risaukan Nyawa Mereka Selepas Afghanistan Ditawan Taliban

Pemain bola sepak wanita Afghanistan mula risaukan nyawa mereka selepas Taliban mengambil alih kuasa di negara tersebut.

Taliban kembali menguasai kerajaan di Afghanistan pada Ahad lalu selepas menawan Kabul. Kumpulan itu sebelum ini pernah memegang tampuk pemerintahan negara tersebut dari 1996 sehingga 2001.

Sepanjang tempoh tersebut Taliban dikenali dengan corak pemerintahan konservatif termasuk melarang penglibatan wanita di dalam pelbagai bidang.

Nasib bola sepak wanita

Kini pasukan bola sepak wanita Afghanistan yang ditubuhkan pada 2017 risaukan keselamatan masing-masing.

Agensi berita Associate Press (AP) baru-baru ini sempat melakukan tembual dengan kapten pasukan, Khalida Popal mengenai situasi semasa di sana dan masa depan beliau dan rakan sepasukan yang lain.

“Kami dinasihatkan untuk memadam akaun media sosial, buang semua gambar yang telah dimuat naik, larikan diri atau bersembunyi,” kata Khalida.

“Perkara ini menyebabkan saya patah hati kerana untuk bertahun lamanya kami bekerja keras untuk membangunkan imej wanita di sini. Sekarang saya memberitahu mereka [wanita Afghanistan] untuk berdiam dan menghilangkan diri. Nyawa mereka kini sedang terancam.”

“Kami bukannya sengaja mencari musuh. Mereka hanya mampu menangis, mereka kesedihan. Mereka semua amat terdesak. Terdapat begitu banyak persoalan. Apa yang berlaku kepada mereka langsung tidak adil.

“Semua mereka kini menyembunyikan diri. Kebanyakkan mereka meninggalkan rumah masing-masing untuk bersama keluarga mereka yang lain. Ini kerana kawasan kejiranan mereka tahu mereka adalah pemain bola sepak.

“Mereka hanya duduk diam ketakuta. Taliban kini berada di merata tempat. Kehadiran mereka menghadirkan rasa takut.”

Ketika pemerintahan Taliban sebelum ini, wanita yang didapati bersukan – termasuk bermain bola sepak – akan ditembak di tengah padang sebelum perlawanan bola sepak lelaki diadakan.

Bilakah bola sepak wanita Afghanistan ditubuhkan?

Skuad bola sepak wanita Afghanistan ditubuhkan pada 2007 oleh Komiti Olimpik Kebangsaan Afghanistan, dan sejak dari itu menjalani latihan di dalam kem NATO di Kabul untuk tujuan keselamatan.

Perlawanan antarabangsa pertama pasukan itu ialah pada Disember 2010 menentang Nepal, manakala kemenangan antarabangsa pertama yang direkodkan Afghanistan ialah kemenangan 2-0 ke atas Qatar pada 2012.

Sehingga Jun lalu, skuad wanita Afghanistan menduduki kedudukan ke-152 di dalam ranking FIFA tetapi turut pernah menduduki kedudukan ke-108 dunia pada 2013.

Siapa sebenarnya Khalida Popal?

Khalida Popal pula beraksi bersama skuad wanita kebangsaan Afghanistan sejak 2007 sehingga 2011, sebelum mengambil keputusan untuk menggantung but. Beliau kemudian menjadi pengarah di Persatuan Bola Sepak Afghanistan, bertanggungjawab sebagai penyelaras pasukan wanita.

Pada 2011 juga, beliau terpaksa melarikan diri dari Afghanistan selepas mendapat pelbagai jenis bentuk ancaman bunuh. Ia bukan pertama kali Khalida pernah meninggalkan negaranya. Beliau turut berbuat demikian pada 1996 apabila Taliban menawan Kabul, dan hanya kembali ke negaranya selepas rejim itu berakhir.

Akhbar The Guardian pada November 2018 pernah menulis sebuah laporan mengenai pemain-pemain bola sepak wanita  Afghanistan yang menjadi mangsa penderaan seksual oleh pegawai di dalam persatuan itu sendiri.

Akibatnya tertuduh yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Afghanistan, Keramuddin Karim telah digantung seumur hidup daripada terlibat di dalam bola sepak oleh FIFA pada 2019.

Bola sepak dipercayai bukan satu-satunya sukan yang akan terjejas dengan kembalinya Taliban sebagai pemerintah di Afghanistan. Begitu juga dengan sukan kriket yang mempunyai pasukan wanita, dan atlet Sukan Paralimpik yang baru-baru ini membatalkan penyertaan di Tokyo.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply