Kenapa Pemain Bola Sepak Seringkali Bermasalah Dengan Cukai Di Sepanyol?

Ramai pembaca kami bertanya, kenapa terlalu banyak kes jenayah cukai di Sepanyol melibatkan pemain bola sepak, dan di negara lain isu ini tidak kerap berlaku?

Kami akan cuba menjelaskan kepada anda, bagaimana beberapa perubahan dasar pada regulasi cukai di Sepanyol sedikit sebanyak mempengaruhi hal ini.

Pemain bola sepak dan cukai di Sepanyol

Sejak beberapa tahun ini semakin ramai pemain berprofil tinggi ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan cukai di Sepanyol.

Misalnya, Messi dan ayah beliau, Jorge dikatakan telah menyembunyikan duit cukai sebanyak £3.6 juta. Cukai tersebut adalah cukai yang berkaitan dengan hak imej ataupun iklan.

Mereka dijatuhkan hukuman penjara 21 bulan. Akibat ia kesalahan pertama dengan hukuman kurang 2 tahun, Messi dan ayahnya terselamat daripada ke penjara.

Seterusnya, Neymar juga dituduh terlibat dengan skandal yang serupa. Namun Neymar bebas daripada pertuduhan cukai, tetapi didapati bersalah dalam kes melibatkan perpindahan beliau dari Santos ke Bacelona.

Dalam beberapa minggu ini, dunia berbicara tentang Cristiano Ronaldo. Ronaldo dikaitkan dengan 4 kesalahan cukai sejak beliau menyertai Real Madrid. Hal ini membuatkan pemain ini sangat kecewa dengan kerajaan Sepanyol.

Kenapa pemain bola sepak di Sepanyol kerap dikejar lembaga cukai?

Pada 2003, David Beckham menyertai Real Madrid. Antara sebab Beckham dan ramai pemain bintang mahu ke Sepanyol adalah kerana dasar cukai di Sepanyol mereka yang longgar ke atas pemain bola sepak berbanding negara lain.

Pada 2005, Sepanyol memperkenalkan satu skim cukai yang lebih menarik kepada pemain-pemain bola sepak ini. Ini kerana La Liga mahu menarik lebih ramai pemain bintang dari luar bermain di negara mereka.

Dasar cukai khas ini digelar Beckham Law. Ini signifikan kepada Beckham sebagai individu pertama yang tertakluk di bawah akta cukai baharu, Royal Decree 687/2005.

Kerajaan Sepanyol hanya mengenakan cukai 24% kadar rata (flat) untuk pemain bola sepak yang berpendapatan kurang €600,000 setahun. Bagi yang lebih daripada €600,000, mereka dikenakan cukai 45%, kadar rata.

Di bawah Beckham Law, kerajaan Sepanyol tidak akan menuntut para pemain membayar cukai untuk pendapatan yang mereka jana di luar Sepanyol.

Ini termasuk hak imej. Hak imej adalah iklan dan kebiasaannya pemain bintang akan menjana banyak pendapatan menerusi iklan dengan syarikat global.

Ketika itu, keadaan ekonomi di Sepanyol berkembang dengan sangat baik. Inilah sebabnya ramai pemain dari luar berminat bermain dan kekal di Sepanyol.

Pada 2009, Beckham Law ini telah dikaji semula dan dibekukan seketika. Pada 2010, Beckham Law telah dimansuhkan.

Semua pemain harus membayar semua hak imej mereka berdasarkan kadar cukai standard termasuk pendapatan di luar negara.

Sejak dari itu, penyiasat cukai di Sepanyol (tax inspectors) memulakan usaha proaktif untuk menjejak pendapatan yang dijana oleh pemain bola sepak di luar Sepanyol.

Maka bermulalah banyak episod pemain disabitkan dengan kesalahan cukai hak imej di luar negara. Menurut seorang inspektor cukai, Carlos Cruzado:

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, agensi cukai di Sepanyol telah meningkatkan kawalannya terhadap para pemain bola sepak dan syarikat mereka.”

“Banyak siasatan dan pemeriksaan dilakukan untuk mengetahui sama ada mereka berada di depan atau sama ada mereka benar-benar aktif secara ekonomi.”

“Selepas pemansuhan Beckham Law inilah, banyak kes mengelak cukai dan penyembunyian cukai dibongkar.” 

Berapa sebenarnya pendapatan hak imej pemain-pemain ini? Ada 3 pemain yang memiliki kuasa hak imej yang tertinggi di Liga Sepanyol.

[table]

Pemain,Gaji,Nilai Tajaan,Pendapatan

1. Cristiano Ronaldo,$58 juta,$35 juta,$93 juta

2. Lionel Messi,$53 juta, $27 juta, $80 juta

3. Neymar,$ 15 juta,$ 22 juta,$37 juta,

[/table]

Dengan 3 senarai di atas, anda sudah boleh melihat kenapa kerajaan Sepanyol merasakan mereka perlu mengenakan cukai ke atas pendapatan di luar Sepanyol terutama sekali melibatkan hak imej.

Dalam kes Messi dan Ronaldo, ia adalah sama. Kedua-duanya dituduh mengelakkan cukai jualan hak imej ataupun hak cipta dengan menggunakan syarikat luar negara.

Ronaldo kecewa dan menyatakan pihak penguasa cukai Sepanyol cuba mengambil cukai di atas pendapatan beliau ketika di Manchester United ataupun sebelum beliau menyertai Real Madrid.

Pendakwaraya telah menuduh bintang Real Madrid mengelak cukai €14.7 juta antara 2011 dan 2014 melalui syarikat milik Ronaldo yang dikenali sebagai Tollin Associates, yang didaftarkan di British Virgin Islands.

Penyiasat Sepanyol mengatakan syarikat tersebut tidak mempunyai aktiviti ekonomi selain daripada membeli dan kemudian menyerahkan hak imej pemain kepada firma yang berpangkalan di Ireland.

Firma di Ireland itulah yang didakwa sebagai pihak yang benar-benar menguruskan penjualan hak imej Ronaldo.

Pendakwaraya juga mendakwa, wang yang diperoleh daripada hak imej telah dijelaskan dengan salah sebagai keuntungan modal, untuk mendapat manfaat daripada kadar cukai yang lebih rendah.

Adakah mereka mempertahankan diri?

Lionel Messi mengakui beliau bersalah. Messi memberitahu mahkamah yang segala urusan kewangan beliau ditadbir oleh ayahnya sejak dahulu lagi.

Jadi segala salah tadbir (mismanage) kewangan beliau adalah pada tangan ayahnya. Dan cuma ayahnya sahaja yang tahu hal sebenar.

Ronaldo pula, mengaku tidak bersalah. Kes beliau masih belum diputuskan lagi. Ronaldo menafikan beliau terlibat dalam skim mengelak cukai. Beliau berkata lagi:

“Saya tidak menyembunyikan apa-apa.”

Gestifute (agensi menguruskan Ronaldo) memberitahu yang klien mereka sentiasa komited akan tanggungjawab membayar cukai dan tidak pernah ada masalah dengan cukai termasuk ketika di England.

Gestifute siap memuat naik beberapa dokumen bukti di laman sesawang mereka.

Ronaldo melakukan perlarasan kepada cukai hak imej beliau seperti yang diminta kerajaan untuk hak imej di dalam Sepanyol. Pihak berkuasa mendapati Ronaldo mendapat 20% hak imej di Sepanyol.

Sebelum ini Ronaldo hanya membayar hasil daripada 10% hak imej beliau di Sepanyol.

Wujudkan kembali Beckham Law

Pengarah Real Madrid, Jose Angel Sanchez mendesak agar kerajaan Sepanyol mewujudkan semula Beckham Law. Beliau berkata:

“Kita risau melihat EPL dikelola jauh lebih baik dan mepunyai jumlah penonton yang lebih baik. Di sana para pemain sepak bola mendapat bayaran gaji lumayan dengan cukai yang lebih rendah.”

“Bagaimana kita mahu menjelaskan kepada pemain-pemain di luar sana untuk menarik mereka bermain di sini tanpa ada mekanisme seperti Beckham Law?”

“Saya bukan nak memperjuangkan agar pemain hanya membayar jumlah cukai yang kecil. Bagi saya, membayar cukai adalah tanggungjawab setiap pemain.”

“Namun kita harus melakukan sesuatu untuk perkar ini.”

Adakah Ronaldo akan ke penjara?

Sebelum ini, Mascherano, Messi dan Neymar berjaya mengelak dari dipenjara kerana hukuman mereka hanya melibatkan penjara kurang 2 tahun untuk kesalahan pertama.

Dalam kes Ronaldo, beliau boleh dikenakan penjara sehingga 7 tahun. Ini kerana 3 daripada 4 pertuduhan ke atas beliau dianggap melibatkan kes yang lebih serius.

Jika beliau didapati bersalah untuk kesemua 4 pertuduhan, Ronaldo boleh dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun.

Jadi, beliau tidak boleh mengelak dari ke penjara untuk hukuman penjara yang lebih 2 tahun pada kesalahan pertama.

Namun kes seperti Ronaldo ini biasanya akan mengambil masa yang lama. Ada yang makan tahun.

Bagaimana Ronaldo boleh mengelak daripada dipenjarakan? Beliau boleh mengaku bersalah dan membayar kesemua cukai da denda yang diminta kerajaan Sepanyol terlebih dahulu (in advance).

Dengan itu, beliau boleh merayu untuk dikurangkan hukuman seperempat (1/4) daripada 7 tahun yang dikenakan ke atas beliau. Itu jika beliau didapati bersalah dalam kesemua 4 pertuduhan.

Justeru, jumlah hukuman penjara beliau akan berada di bawah 2 tahun untuk kesalahan pertama yang tidak melibatkan jenayah berat. Dengan itu, Ronaldo boleh mengelak daripada tirai besi.

Rumusan

Dasar cukai di Sepanyol yang berubah tetapi prosesnya tidak diselaraskan dengan efisien melibatkan semua pihak termasuk pihak ejen/pengurus cukai para pemain.

Perubahan dasar yang terlalu drastik pada 2010 berlaku apabila mereka melihat ramai bintang besar datang ke Sepanyol dan peningkatan publisiti La Liga.

Pemain-pemain seperti Alexis Sanchez, Angel Di Maria dan juga Falcao antara yang terpaksa membayar semula duit cukai yang mereka tidak selesaikan ketika di Sepanyol.

Sumber/Rujukan

https://en.wikipedia.org/wiki/Beckham_law

http://www.bbc.com/news/world-europe-40287173

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN