Pemain Barcelona Dilaporkan Sedia Hadapi Potongan Gaji

Barcelona

Para pemain senior Barcelona nyata memahami masalah yang sedang dihadapi The Blaugrana dan bersedia untuk menghadapi potongan gaji seperti dirancang oleh Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu beberapa hari lalu.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Bartomeu mendedahkan bahawa kewangan kelab gergasi dunia itu sedikit meruncing susulan wabak coronavirus (COVID-19) yang menyerang dunia pada ketika ini.

Keadaan itu bagaimanapun boleh diselamatkan dengan langkah pemotongan gaji bagi beberapa pemain utama Barcelona.

Menurut sumber Sport, pertemuan Bartomeu bersama Lionel Messi, Gerard Pique, Sergio Busquets dan Sergi Roberto telah menunjukkan perkembangan positif apabila para pemain tersebut dikatakan memahami setiap masalah yang dihadapi oleh kelab itu.

Embed from Getty Images

Persetujuan awal secara lisan juga sudah berjaya dicapai antara pemain tersebut dan pihak kelab berhubung dengan isu berkenaan pemotongan gaji yang diutarakan Bartomeu. Kedua-dua pihak melihat ia adalah perkara penting dalam menghadapi krisis global ini.

Dalam pada itu, Bartomeu akan bersemuka secara dalam talian (online) dengan ahli Persatuan Kelab Eropah (ECA), Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan beberapa liga bola sepak yang lain di Eropah.

Perbincangan tersebut adalah bertujuan untuk mencari formula berbeza yang boleh digunakan bagi menangani kesan ekonomi akibat COVID-19.

Sebagai informasi, menurut Global Sports Salary Survey, Barcelona merupakan pasukan pertama di dunia yang menyaksikan para pemain mereka mempunyai purata pendapatan melebihi €11 juta setahun.

Kredit foto: David S. Bustamante/Soccrates/Getty Images

Baca artikel lain mengenai Barcelona:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram