10 Pemain Asing Rantau ASEAN Yang Pernah Mewarnai Liga Malaysia

Malam tadi Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengumumkan penambahan jumlah kuota pemain asing untuk saingan Liga Super Malaysia mulai musim 2018.

Daripada jumlah 4 pemain asing yang dibenarkan dan 1 daripada kuota berkenaan dikhaskan untuk pemain daripada negara Asia, kini FMLLP menambah satu lagi kuota pemain asing, khas untuk pemain daripada negara serantau ASEAN.

Artikel kali ini menampilkan antara 10 pemain asing daripada negara serantau ASEAN yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia.

1. Ristomoyo Kassim (Indonesia)

Selangor adalah salah sebuah pasukan di dalam kancah bola sepak tanah air yang sinonim dengan pengambilan bintang import daripada Indonesia.

Pemain pertama daripada negara republik berkenaan yang beraksi untuk Selangor ialah Ristomoyo Kassim.

Bukan sahaja yang pertama untuk Selangor, pemain pertahanan antarabangsa Indonesia itu juga adalah antara pemain import terawal yang beraksi di kancah Liga Malaysia satu ketika dahulu.

Ristomoyo bolehlah dianggap antara pemain asing yang bertuah kerana turut pernah beraksi bersama legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Pada 1986, Ristomoyo turut membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia apabila membenam cabaran Johor FA 6-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka.

Beliau turut menyumbang satu gol dalam perlawanan akhir tersebut dengan satu rembatan yang mengelirukan penjaga gol Johor. Selain daripada Selangor, Ristomoyo turut pernah beraksi untuk  Kelantan.

Kredit: Pemilik gambar

2. Piyapong Pue-On (Thailand)

Selain daripada Ristomoyo Kasim, Pahang FA turut memiliki seorang penyerang daripada Thailand di era itu. Beliau yang dimaksudkan ialah Piyapong Pue-On yang beraksi di antara 1986-1989 untuk skuad Tok Gajah.

Sebelum menyertai Pahang, Piyapong Pue-on terlebih dahulu berkelana di Korea Selatan bersama Lucky-Goldstar FC (kini adalah Seoul FC), mencetak sejumlah 17 gol daripada 34 penampilan daripada tahun 1984-1986.

Bersama Pahang, Piyapong telah tampil di dalam 61 perlawanan dan menjaringkan sejumlah 70 gol. Piyapong turut membantu Pahang menjuarai saingan Liga pada 1987.

Di Thailand Piyapong diberikan gelaran ‘Jaded-Faced Executioner’ kerana ketajaman sentuhan penyudahnya. Untuk rekod, Piyapong tampil dalam 100 perlawanan untuk skuad Gajah Perang dan menjaringkan 70 gol di peringkat antarabangsa di antara 1981-1997.

Selain daripada bola sepak, Piyapong yang juga merupakan bekas pegawai Tentera Udara Diraja Thailand turut pernah menceburkan diri dalam dunia perfileman.

Beliau pernah tampil di dalam sebuah filem Thailand yang berjudul ‘Kerd ma lui’ yang bererti ‘Born To Fight’ dalam Bahasa Inggeris.

Kredit: Pemilik gambar

3. Fandi Ahmad (Singapura)

Tidak lengkap rasanya jika kita tidak menyenaraikan legenda dan bekas bintang Singapura yang pernah berkelana di Belanda bersama FC Groningen, Fandi Ahmad.

Fandi Ahmad mulai beraksi di kancah Liga Malaysia bersama Kuala Lumpur di antara 1986-1989 sebelum berhijrah ke Pahang pada 1991-1992.

Bersama Kuala Lumpur, Fandi Ahmad telah membantu skuad warga kota menjadi salah sebuah pasukan yang amat digeruni pada era itu dengan deretan pemain bintang seperti Lim Teong Kim, Yap Wai Loon, Azman Adnan dan ramai lagi.

Antara kejuaraan yang pernah dimenangi oleh Fandi Ahmad bersama Kuala Lumpur ialah juara liga pada 1988 dan kejuaraan Piala Malaysia 2 tahun berturut-turut pada 1987 dan 1988.

Untuk Singapura, Fandi Ahmad telah tampil lebih daripada 100 perlawanan, menjaringkan sejumlah 55 gol di antara 1979 sehingga 1997.

Kredit: Pemilik gambar

4. Kiatisuk Senamuang (Thailand)

Nama Kiatisuk Senamuang boleh dikatakan antara nama prolifik seperti Fandi Ahmad di dalam bola sepak di rantau Asia Tenggara. Bekas kapten skuad kebangsaan Thailand ini pernah beraksi bersama Perlis di kancah Liga Malaysia di antara 1998-1999.

Perlis pada ketika itu berada di bawah bimbingan Bakri Ibni sebelum Haji Abdul Rahman Ibrahim mengambil alih. Kehadiran Kiatisuk Senamuang bersama pasukan di utara tanah air itu pantas memberikan impak.

Antara gerakan yang paling diingati ialah hantaran cantik untuk mencari seorang lagi penyerang import dari Ghana, Henry Acquah untuk menjaringkan gol tunggal kemenangan menentang Selangor dalam penampilan awalnya.

Kiatisuk turut pernah membawa Perlis layak sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia di dalam skuad yang turut dibarisi Soberi Johar dan Veerak Run di era itu.

71 gol dalam 134 penampilan di antara 1993 sehingga 2003 di pentas antarabangsa bersama Thailand membuktikan Kiatisuk Senamuang bukan calang-calang import yang pernah dimiliki oleh Singa Utara.

Selepas bersama Perlis, Kiatisuk Senamuang turut pernah bersama Huddersfield Town selama semusim pada 1999-00, namun tidak tampil dalam sebarang perlawanan.

Beliau akhirnya kembali ke Thailand dan turut pernah beraksi di Liga Singapura sebelum bersara daripada bola sepak profesional pada 2006.

Kredit: chedinsphere.blogspot

5. Bambang Pamungkas (Indonesia)

Pemain daripada Indonesia ini pernah dianggap oleh ESPN sebagai antara 10 pemain Asia paling prolifik pada 2012. Bambang Pamungkas beraksi bersama Selangor selama 2 musim pada 2005 dan 2006.

Bambang Pamungkas menyertai Selangor bersama seorang lagi rakan senegara Elie Aiboy.

Ketika bersama Selangor, Bambang Pamungkas berjaya membantu Selangor muncul juara Liga Perdana Malaysia, sekaligus melayakkan Selangor untuk beraksi di Liga Super pada musim berikutnya.

Nama Bambang Pamungkas lantas menjadi idola penyokong ‘The Red Giants’ pada ketika itu apabila beliau turut membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia dan juga Piala FA pada musim pertama di Selangor.

Sepanjang 2 musim bersama Selangor, Bambang Pamungkas telah tampil sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana musim 2005 apabila berjaya menghasilkan 23 gol daripada 24 perlawanan.

Secara keseluruhan, Bambang Pamungkas telah menjaringkan 42 gol dalam 63 penampilan sepanjang 2 musim beraksi di Liga Malaysia bersama Selangor.

Kredit: Pemilik gambar

6. Kyi Lwin (Myanmar)

Dilahirkan pada 1965, Kyi Lwin memulakan karier bola sepaknya bersama Tentera sebelum menyertai YCDC di Myamnar.

Di antara tempoh itu, beliau kemudiannya disunting oleh Allahyarham Raja Zainuddin Raja Ahmad untuk menyertai Perak pada 1990 yang pada ketika itu berada di bawah bimbingan M.Karathu.

Antara kenangan penyokong bola sepak Perak bersama Kyi Lwin ialah ketika pemain itu berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk Perak di peringkat separuh akhir pertandingan sulung Piala FA pada 1990.

Kejayaan di atas separuh akhir lantas membuka ruang untuk Perak menjuarai Piala FA selepas ketinggalan 2-0 sebelum bangkit menewaskan Selangor dengan jaringan 4-2.

Malangnya Kyi Lwin tidak dapat beraksi di perlawanan akhir Piala FA tersebut selepas disahkan patah tulang jari.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Kyi Lwin juga adalah salah seorang daripada anggota skuad Myanmar yang memenangi pingat Perak acara Sukan SEA 1993, selepas ditewaskan oleh Thailand dalam aksi perlawanan akhir.

Kredit: Pemilik gambar

7. Aung Naing (Myanmar)

Tiba bersama-sama Kyi Liwin, Aung Naing juga adalah antara pemain import dari Myanmar yang beraksi bersama pasukan Perak dari 1990 sehingga 1992.

Di Perak, Aung Naing membentuk gandingan yang mantap bersama-sama seorang lagi pemain import daripada Korea Selatan, Jang Jung dan juga ayam tambatan Perak ketika itu, Azizol Abu Haniffah.

Seperti Kyi Liwin, kejayaan termanis Aung Naing bersama Perak ialah ketika membantu skuad Seladang menafikan Selangor untuk muncul juara Piala FA edisi pertama pada 1990.

Pada satu ketika dalam perlawanan akhir Piala FA 1990 itu, Perak ketinggalan 2-0 kepada Selangor. Aung Naing adalah pemain yang bertanggungjawab mengepalai kebangkitan Perak dengan gol sulung pasukannya.

Jaringan Aung Naing itu membantu Perak bangkit untuk menewaskan Selangor dengan jaringan 4-2 untuk muncul juara sulung Piala FA Malaysia pada 1990.

Kredit: Pemilik gambar

8. V. Sundramoorthy (Singapura)

Bekas pemain FC Basel ini dibawa menyertai pasukan Kedah pada 1989 dan beraksi bersama skuad Hijau Kuning selama 2 musim.

Era tersebut adalah era kebangkitan skuad Kedah dalam kancah saingan bola sepak tempatan era Allahyarham Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri bin Mohd Akil.

V. Sundramoorthy adalah seorang pemain tengah menyerang, membantu skuad Kedah muncul naib juara Piala Malaysia pada 1989 sebelum muncul juara Piala Malaysia bersama negeri jelapang padi itu pada tahun berikutnya.

Dalam perlawnanan akhir Piala Malaysia 1990, V. Sundramoorthy menjaringkan gol pembukaaan pasukan Kedah dalam kemenangan 3-1 ke atas negara kelahirannya, Singapura.

Selepas Kedah, V. Sundramoorthy turut beraksi bersama Pahang dan juga Kelantan sebelum kembali beraksi untuk kelab di Singapura.

Pada 2012 V. Sundramoorthy kembali mewarnai kancah Liga Malaysia. Namun kali ini beliau kembali sebagai ketua jurulatih Lions XII sebelum pasukan bimbingan beliau berjaya menjuarai Liga Super Malaysia pada 2013 beraksi di kancah bola sepak tempatan.

Kredit: Pemilik gambar

9. Borhan Abu Samah (Singapura)

Borhan Abu Samah adalah sebahagian daripada skuad Pahang yang dianggap ‘Galaticos’ pertama Malaysia kerana barisan pemain bintang yang membarisi skuad Tok Gajah pada 1992.

Antara nama-nama pemain yang membarisi pasukan Pahang pada ketika itu ialah Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan juga pemain kebangsaaan Australia, Alan Davidson.

Beraksi di posisi bek kiri, Borhan mendapat gelaran ‘kereta kebal Rusia’ kerana bentesan-bentesan kerasnya. Borhan juga diakui sebagai antara pemain pertahanan yang ampuh dan sukar dilepasi oleh pemain penyerang lawan pada era itu.

Borhan Abu Samah dan deretan ‘Galaticos’ yang menghiasi pasukan Pahang berjaya memenangi kejuaraan berganda, selepas berjaya menjuarai saingan Liga dan juga Piala Malaysia pada 1992.

Pada 1994, Borhan kembali menjuarai kejuaraan Piala Malaysia, kali ini dengan negara asalnya Singapura dengan menewaskan Pahang dengan jaringan 4-0 dalam aksi perlawanan akhir.

Legenda Pahang dan bekas pemain antarabangsa Singapura ini meninggal dunia akibat kanser hati di usia 34 pada tahun 1999.

Kredit: Pemilik gambar

10. Mark Hartmann (Filipina)

Mark Hartmann adalah wakil tunggal daripada Filipina yang pernah beraksi di Liga Malaysia. Selepas beraksi cemerlang bersama Geylang United di Liga Singapura, Hartmann disambar oleh Sarawak FA pada musim lalu.

Di peringkat awal bersama skuad Bujang Senang, Hartmann menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, menjaringkan 8 gol daripada 12 penampilan keseluruhan untuk Sarawak sehingga ke pertengahan musim.

Jodoh Hartmann bersama Sarawak tidak panjang dan prestasi tidak menentu dikatakan antara sebab beliau dilepaskan sebelum menyertai Pulau Pinang pada jendela perpindahan kedua pada Mei lalu.

Namun demikian Hartmann gagal membantu Pulau Pinang daripada tersingkir ke 100Plus Liga Premier, selepas skuad Harimau Kumbang itu menduduki tangga tercorot saingan Liga Super Malaysia 2017.

Hartmann hanya menjaringkan 2 gol dalam 8 penampilan bersama skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan.

Hartmann yang juga merupakan antara pemain berdarah campuran di dalam skuad Azkal telah menjaringkan 7 gol melalui 21 penampilan meliputi semua pertandingan dan perlawanan antarabangsa untuk Filipina.

Photo by Irzan Ariffin / www.asiana.my,

Rumusan

Terdapat ramai lagi pemain dari rantau ASEAN yang pernah beraksi di dalam kancah bola sepak tanah air? Siapakah pemain yang paling anda ingati?

Kongsikan dengan kami di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram