Peluang Untuk Kembali ‘Bernyawa’, Fenerbahce Usaha Dapatkan Ozil Januari Ini

Mesut Ozil Fenerbahce Arsenal

Hampir setahun ‘dibekukan’ oleh Arsenal, mungkin ada sinar untuk Mesut Ozil kembali beraksi selepas kelab Turki Fenerbahce berusaha untuk mendapatkannya apabila jendela perpindahan dibuka pada Januari ini.

Pemenang Piala Dunia 2014 tersebut tidak disenaraikan oleh Mikel Arteta untuk skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan kontraknya bersama kelab utara London tersebut akan tamat pada penghujung musim ini.

Pemain tengah Jerman tersebut merupakan rekod pembelian Arsenal pada 2013 selepas melengkapkan perpindahan dengan yuran sekitar £45 juta dan muncul watak penting buat Arsene Wenger untuk beberapa tahun pertamanya di Emirates.

Pada tahun 2018, beliau menandatangani kontrak baharu dengan kenaikan gaji sehingga £350,000 dan menjadi antara penerima gaji tertinggi dalam kalangan pemain EPL.

Bagaimanapun Ozil terpalit dengan beberapa perkara termasuk komennya terhadap isu kemanusiaan melibatkan etnik Muslim Uyghur di China sehingga menimbulkan kemarahan kerajaan dan rakyat negara berkenaan kepadanya.

Ada ura-ura yang mengatakan ‘penyingkiran’ Ozil daripada skuad Arsenal yang dilakukan secara halus tersebut adalah desakan atau ugutan pihak-pihak tertentu melibatkan isu penyiaran EPL di China.

Namun dalam temubual Arteta baru-baru ini, tindakan untuk tidak menyenaraikan Ozil tersebut adalah keputusan beliau dan tiada kaitan dengan isu peribadi dan sebagainya.

Ahli kongress Fenerbahce, Murat Zorlu mengesahkan pihaknya telah pun memulakan perbincangan dengan Arsenal dan rundingan tersebut hampir selesai untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Berdasarkan perkembangan semasa, saya boleh mengatakan Mesut Ozil semakin hampir untuk menjadi pemain Fenerbahce semasa tempoh perpindahan akan datang,” ujar Zoglu kepada Digitale Sports.

“Saya boleh katakan 90 peratus dia akan menyertai kami dalam masa sebulan lagi.”

Ozil sememangnya mempunyai ikatan yang kuat dengan Turki memandangkan keluarga adalah imigran daripada negara tersebut dan beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden, Recep Tayyip Erdogan.

Bagi yang merindui ‘sentuhan emas’ Ozil, mungkin tidak lama lagi anda boleh saksikan aksinya, tetapi di Liga Turki.

Kredit Foto: TurcFootball

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Mesut Ozil dan Arsenal:

Jamie Carragher: Mesut Ozil Bukan Jawapan Kepada Masalah Arsenal

‘Saya Akan Tetap Bersuara Demi Kemanusiaan’ – Ozil Luah Kekecewaan Disisih Arsenal

Penyokong Arsenal Gesa Pecat Arteta, Ganti Dengan Pochettino

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply