Peluang Matthew Davies Untuk Menyertai Skuad Piala AFF Sangat Tipis

Hasrat skuad Harimau Malaya untuk menggunakan khidmat tonggak pertahanan Pahang, Matthew Davies bagi menghadapi saingan Piala AFF bulan depan mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengesahkan Davies mengalami kecederaan yang serius di bahagian lutut kanan dan ia memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih sepenuhnya.

Beliau berkata demikian kepada Stadium Astro, setelah pasukan perubatan menjalani pemeriksaan imbasan ke atas lutut Davies.

“Selepas imbasan, kami dapati Davies memerlukan masa yang lama untuk pulih daripada kecederaan lutut, jadi kami terpaksa lupakan khidmatnya.

“Prestasi pemain lain pun menunjukkan peningkatan dan saya rasa tidak banyak perubahan daripada corak permainan. Apa yang penting, pemain yang dalam senarai menunggu kena bersedia untuk perlawanan akan datang,” jelasnya.

Skuad Harimau Malaya kembali menjalani latihan pusat semalam untuk persiapan menghadapi kejohanan Piala AFF. FOTO: FAM

Mengulas mengenai persiapan menghadapi kejohanan Piala AFF, Cheng Hoe menjelaskan beliau sudah memiliki bayangan kesebelasan utama yang terbaik sejak kehadiran semula penyerang JDT, Safawi Rashid dan bintang tengah Pahang, Azam Azih.

Para pemain yang dipanggil kali ini akan diuji dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November depan sebelum Cheng Hoe mengumumkan senarai 23 pemain akhir ke Piala AFF.

Mohamadou Sumareh bersama Azam Azih dan Hazwan Bakri melakukan senaman yoga. FOTO: FAM

“Memang barisan jurulatih memiliki bayangan 11 pemain tetapi kami perlu lihat lagi dalam sesi latihan selama 10 hari,” kata Cheng Hoe.

Lima pemain Perak diberi pelepasan sehingga berakhir tugasan mereka menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Terengganu, Sabtu ini manakala Akhyar Rashid ketika ini bersama skuad B-19 negara kendalian Bojan Hodak dalam Kejohanan AFC di Indonesia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram