Pelesenan Kelab: UKM FC, Kelantan, Sarawak Tarik Nafas Lega

Tiga pasukan Liga Premier, UKM FC, Kelantan FA dan Sarawak FA boleh menarik nafas lega apabila diberikan lesen kebangsaan oleh First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM.

Perkara tersebut diumumkan oleh badan induk bola sepak negara melalui satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Ketiga-tiga kelab diberikan lesen kebangsaan setelah berjaya memenuhi kriteria pelesenan kelab untuk penyertaan liga kebangsaan 2020.

Tatkala UKM FC diberikan lesen kebangsaan penuh, Kelantan dan Sarawak diberikan lesen secara bersyarat disebabkan beberapa jaminan yang diperlukan daripada pihak ketiga.

Ini menyebabkan Kelantan dan Sarawak turut diberikan amaran oleh FIB supaya lebih teliti dan mengambil maklum mengenai tarikh akhir yang ditetapkan oleh badan induk itu.

Tiga lagi pasukan iaitu Selangor United FC, PDRM FA dan Pulau Pinang FA yang sebelum ini diberikan lesen dengan bersyarat juga kini telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

Dua pasukan Liga Super iaitu Melaka United dan PKNS FC turut memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk memperolehi lesen kebangsan masing-masing.

Bagaimanapun semua pasukan yang bertanding pada musim hadapan perlu menyediakan Surat Akuan Berkanun pada 15 Disember 2019 bertujuan mengisytiharkan sebarang bentuk bayaran tertunggak (sekiranya ada) dan pelan untuk melunaskan hutang-hutang tersebut.

Ia bagi memastikan tiada sebarang tunggakan dari 2019 yang akan dibawa ke musim 2020.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram