Pelaburan Lebih £100 Juta Chelsea & Arsenal, Pasukan Mana Lebih Bijak Berbelanja?

Arsenal Chelsea

Romelu Lukaku tidak perlu menunggu lama untuk mencipta impak selepas kembali semula ke pangkuan Chelsea dengan membuka akaun jaringannya ketika membantu skuad kendalian Thomas Tuchel itu menewaskan Arsenal 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Penyerang berusia 28 tahun itu hanya memerlukan 15 minit sahaja untuk mencetak gol dalam debut keduanya untuk The Blues selepas tiba sebagai rekod pembelian kelab dari Inter Milan.

Dalam aksi derbi London itu, Chelsea jelas mendominasi perlawanan dengan menghasilkan deretan peluang dan Arsenal pula terlihat begitu ‘tumpul’ dan kurang kreativiti untuk memberikan persaingan.

Berikut adalah lima perkara perkara yang boleh dipelajari daripada perlawanan ini.

Pendekatan berbeza dua kelab London

Aksi Derbi London di antara dua pasukan ini hakikatnya adalah di antara pertembungan setempat yang amat dinanti-nantikan. Namun melihat kepada reputasi semasa dua pasukan ini, mungkin terdapat jurang yang semain ketara.

Chelsea menguasai pentas Eropah selepas menggondol trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala Super Eropah sementara Arsenal pula bergelut di tangga pertengahan liga pada musim lalu.

Ia menunjukkan kualiti perbezaan yang ketara di antara dua pasukan ini. Sekalipun kedua-duanya telah berbelanja lebih £100 juta pada musim panas ini untuk membawa masuk pemain baharu, tetapi pembelian Chelsea mungin dianggap lebih teliti dalam menutup kekurangan pasukan.

Arsenal telah membawa masuk lima pemain baharu iaitu Ben White (£50 juta), Martin Odegaard (£34 juta), Aaron Ramsdale (£26 juta), Albert Sambi Lakonga (£17 juta) dan Nuno Tavares (£8 juta).

Jumlah keseluruhan untuk kesemua pemain ini hampir mencecah £140 juta tetapi pasukan tersebut setakat ini tidaklah dilihat bertambah baik berbanding musim lalu.

Tetapi Chelsea hanya fokus membelanjakan £97.5 juta untuk mendapatkan seorang pemain sahaja iaitu Romelu Lukaku bagi melengkapkan pasukannya. Mereka juga berjaya mendapatkan penjaga gol Marcus Betinelli secara percuma.

Mungkin ia pelaburan yang cukup bijak dan sudah mencukupi kerana mereka telah pun berbelanja besar pada musim lalu untuk melengkapkan posisi lain.

Sekalipun nilai untuk Lukaku itu agak tinggi, ia merupakan harga yang dianggap amat berbaloi untuk seorang pemain yang sudah terbukti kemampuannya serta konsistensi dalam menghasilkan jaringan bagi mendapatkan keputusan-keputusan positif untuk setiap perlawanan.

Cebisan puzzle yang hilang

Walaupun jaringan pertama penyerang kebangsaan Belgium itu cuma gol yang nampak begitu mudah, tetapi jika diimbas semula, itu bukanlah gol dan gerakan yang Chelsea miliki pada musim lepas.

Lukaku merupakan cebisan terakhir permainan puzzle yang dicari-cari Thomas Tuchel selama ini. Ia jelas boleh dilihat bagaimana beliau memanipulasi ruang kosong di bahagian tengah serangan sehingga menyukarkan barisan pertahanan Arsenal.

Beliau juga hampir menjaringkan gol keduanya tetapi dinafikan kecekapan Bernd Leno yang berjaya menepis tandukannya sebelum terbias ke palang gol.

Ia adalah persembahan seorang penyerang yang sempurna walaupun beliau hanya tiba seminggu yang lalu. Sudah tentu ia menjadi cabaran kepada setiap pasukan yang akan berdepan Chelsea sepanjang musim ini.

Reece James pertahanan kanan serba lengkap

Tidak dinafikan bek kanan merupakan posisi yang paling sengit dalam skuad kebangsaan England dengan deretan pemain berkualiti berada di posisi ini.

Kyle Walker, Kieran Trippier, Aaron Wan Bissaka, Trent Alexander-Arnold, Tariq Lamptey, James Justin dan Max Aarons adalah di antara nama-nama yang sedia merebut tempat dalam skuad kendalian Gareth Southgate.

Tetapi berdasarkan persembahan James ketika menentang Arsenal itu jelas menunjukkan hari demi hari, beliau adalah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

James menjaringkan gol kedua menerusi penyudah yang begitu klinikal selepas membuat larian ke arah gol lawan. Dengan satu gol dan satu bantuan jaringan, beliau layak diangkat sebagai pemain terbaik berdasarkan persembahan cemerlangnya sepanjang perlawanan ini.

Kelemahan pertahanan Arsenal terlalu ketara

Untuk kesekian kalinya, ia merupakan posisi yang paling kritikal buat Arsenal sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan Mikel Arteta sepertinya gagal untuk mengembalikan reputasi barisan pertahanan Arsenal yang pernah digeruni satu masa dahulu.

Ia memaksa Arsenal membelanjakan £50 juta untuk membawa masuk Ben White dari Brighton & Hove Albion. Namun pemain pertahanan muda England itu tidak dapat beraksi selepas disahkan positif Covid-19.

Namun aksinya ketika Arsenal tewas kepada Brentford dalam aksi pembukaan liga pada minggu lalu juga menunjukkan beliau masih belum dapat membentuk keserasian bersama barisan pertahanan yang lain.

Ketiadaan Hector Bellerin dan Gabriel Magalhaes juga menjadikan ketempangan pasukan itu semakin ketara. Gandingan Rob Holding dan Pablo Mari jelas tidak mampu untuk mengekang serangan Chelsea.

Arsenal perlukan penyudah dan kreativiti

Arsenal mungkin beraksi lebih baik pada separuh masa kedua dengan kemasukan Pierre-Emerick Aubameyang, tetapi mereka tetap bermasalah untuk menjaringkan gol di Emirates.

Malah The Gunners sudah buntu mendapatkan jaringan dalam dua perlawanan pertama liga musim ini dan menyertai Wolverhampton Wanderers, Norwich City dan Crystal Palace di dasar liga tanpa mengumpul sebarang mata.

Gabriel Martinelli sekali lagi bergelut untuk membuktikan kemampuannya walaupun telah diberi peluang diturunkan dalam kesebelasan utama dalam dua perlawanan. Maka khidmat Alexander Lacazette selepas ini amat diperlukan jika sudah pulih dari jangkitan Covid-19.

Emile Smith Rowe dan Bukayo Saka mungkin dua pemain yang sedikit menyerlah, tetapi Arsenal tentunya mengharapkan sentuhan Odegaard yang belum berpeluang untuk diturunkan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply