PDRM Terselamat Dari Pemotongan Enam Mata, Setuju Selesaikan Tunggakan RM623,525.88

Serik dengan pemotongan tiga mata yang telah dikenakan sebelum ini, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya terlepas daripada hukuman pemotongan enam lagi mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas berjaya menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain dan pegawai pasukan tersebut sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataannya kepada Bernama dengan memaklumkan PDRM telah membuat penyelesaian penuh melibatkan dua pemain tempatan serta pembayaran 50 peratus kepada 14 pemain dengan bakinya akan dilunaskan secara ansuran mengikut persetujuan bersama.

Pembayaran membabitkan pemain import juga telah dibuat dengan dua daripadanya sudah diberikan bayaran penuh sementara dua lagi akan menerima bayaran secara ansuran. Jumlah bayaran tersebut dilaporkan sebanyak RM623,522.88.

“Sementara tiga pegawai pasukan pula kes mereka telah dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dan akan didengar kesnya pada 3 Mac ini,” kata Stuart.

Menurut Stuart, pihaknya menghargai langkah positif PDRM untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji tersebut, bagaimanapun beliau memberi peringatan kepada PDRM agar dapat memastikan supaya baki bayaran ansuran berjadual berjumlah  RM611.029.88 dibayar mengikut tempoh seperti yang telah dijanjikan.

“Ini kerana FAM akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan pasukan-pasukan yang terbabit mengikuti pelan penyelesaian baki tunggakan gaji seperti yang telah dipersetujui bersama pemain dan pegawai,” tambah Stuart lagi.

Pada awal bulan ini, PDRM telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas gagal menyelesaikan tunggakan gaji yang membabitkan 20 pemain dan tiga pegawai pasukan sebelum tarikh akhir pada 31 Januari.

Kredit Foto: PDRM FA

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply