PDRM Kekalkan Pemain Dikalangan Anggota, Tunggu Saat Akhir Lengkapkan Pasukan

pdrm fa liga super 2020

Pendatang baharu Liga Super 2020, PDRM FA dilihat tenang walaupun bakal berdepan cabaran baharu di liga tertinggi di Malaysia dengan masih tiada kemasukkan pemain baharu.

Pengurusnya, Datuk Khalil Azlan Chik menjelaskan yang pihak pengurusan tidak mahu terburu-buru mendapatkan pemain berstatus bintang tetapi akan menunggu sehingga saat akhir untuk menyerap masuk pemain-pemain yang masih tiada pasukan.

Menurutnya lagi, beliau sedia maklum pasukan-pasukan lain kuat namun ia tidak bermakna mereka tidak boleh menandingi mereka.

“Perkara penting perancangan dalam pasukan kerana [kita] sedia maklum sememangnya pasukan lain kuat, namun tidak bermakna kami tidak boleh lawan,” memetik kenyataannya di Harian Metro.

“Hasrat saya tidak semestinya perlu berbelanja berlebihan kerana perkara penting adalah membangunkan pasukan daripada bawah hingga mampu meraih kejayaan,” jelasnya mengenai misi pasukan.

PDRM mengekalkan 60 peratus pemain musim lalu yang telah membantu pasukan meraih kedudukan ketiga di saingan Liga Premier 2019 dan meraih promosi ke Liga Super. Pemain-pemain tersebut adalah dikalangan anggota dan pegawai Polis.

PDRM mengumpul 30 mata, berkongsi mata bersama Terengganu FC II dan tiga mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) II. Atas sebab ‘feeder club’, JDT II tidak dinaikkan pangkat dan slot tersebut diberikan kepada PDRM selepas Pulau Pinang ditolak enam mata.

Penjaring terbanyak mereka musim lalu dengan 10 gol, Lee Chang-hoon telah berubah angin dengan menyertai pasukan Liga Premier, Pulau Pinang dan penyerang, Uche Agba pula ke Melaka United.

“Kami belum memutuskan lagi pemain yang akan diambil namun ciri utama yang perlu ada, mereka yang bermain untuk pasukan adalah perlu serasi atau mampu bersama dengan skuad The Cops nanti,” jelasnya sambil mengharapkan pengendali baharu, Ishak Kunju Mohamad mampu membawa angin perubahan.

Ishak Kunju Mohamad telah menggantikan pengendali yang masuk menggantikan Fauzi Pilus pada Mac lalu, E. Elavarasan.

Selain itu, PDRM turut menanti sekiranya ada syarikat-syarikat swasta yang berminat untuk memberi tajaan kepada pasukan mereka bagi mengukuhkan pasukan untuk saingan akan datang.

“[Ianya] bagi membolehkan [kami] menyediakan barisan pemain terbaik untuk musim depan,” tambahnya lagi.

Kredit Foto: PDRM FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram