PDRM Akan Bayar Hutang Secara Berkala

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Selepas diberi amaran pemotongan mata dan penyingkiran dari saingan Liga Malaysia (Liga-M) oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) telah bercadang untuk membuat penstrukturan pembayaran semua hutangnya melibatkan pemain, pegawai dan pihak pihak ketiga secara berkala.

Ia juga salah satu syarat untuk pasukan itu memperoleh sijil pelesenan kelab FAM di mana salah satu daripada enam syarat utama adalah mengenai aspek kewangan yang mewajibkan setiap pasukan mempunyai kewangan yang kukuh untuk menghadapi musim baharu disamping mempunyai jaminan untuk menyelesaikan segala hutang tertunggak.

PDRM FC mengemukakan cadangan tersebut ketika FAM membuat kunjungan hormat ke atas pasukan tersebut di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak pada Selasa bagi membincangkan pelbagai aspek pengurusan pasukan terutamanya melibatkan kemampuan The Cops untuk terus bersaing di Liga-M.

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Monday, January 20, 2020

Memetik laporan di akaun media social rasmi FAM, Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menyambut baik cadangan yang dikemukan oleh pasukan tersebut dan berharap pertemuan di antara kedua-dua pihak itu akan membawa hasil yang positif.

“FAM menyambut baik cadangan itu namun mengingatkan pasukan untuk membuat perjanjian bertulis bersama pemain ataupun pegawai terbabit yang bersetuju dibayar secara ansuran bagi mengelakkan sebarang masalah.”

Hadir sama Presiden Persatuan Bolasepak PDRM yang juga Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor bersama barisan exco FAM dan juga barisan exco PDRM.

Ianya merupakan kunjungan hormat yang kelapan buat FAM yang sebelum ini turut berkunjung ke Majlis Sukan India Malaysia (MISC), Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM),Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA), Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Monday, January 20, 2020

“Kami di FAM sememangnya sentiasa memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungan.

“Menjadi hasrat dan cita-cita FAM untuk sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan ahli gabungan,” katanya.

FAM turut menyeru penglibatan anggota polis wanita dalam sukan bola sepak mahupun futsal dipertingkatkan PDRM bagi memastikan penglibatan pemain wanita anggota polis terus konsisten.

Dato’ Mazlan dalam ucapannya memaklumkan pasukan PDRM adalah pasukan yang kerdil beroperasi dengan sumber kewangan yang kecil. Namun pihaknya berbesar hati untuk terus menyumbang dan berbakti dalam memastikan kelangsungan PDRM dalam arena sukan bola sepak tanah air.

Kredit Foto: FAM