PBSNT Terima Surat Perletakan Jawatan Irfan Bakti, Nafi Ada Tunggakan Gaji Pemain

Sebentar tadi, media rasmi Terengganu FC mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi Setiausaha Agung PBSNT- Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil.

Dalam kenyataan tersebut Datuk Farok berkata: “Susulan TFC diberi satu tamparan yang hebat dengan satu kekalahan yang teruk pada perlawanan menentang PJ City FC dalam suasana TFC telah memiliki kelebihan 3 gol di separuh masa pertama dan akhirnya menerima kekalahan 3-5. PBSNT telah mengadakan satu mesyuarat khas berkenaan prestasi TFC bagi menilai kelemahan yang sedang berlaku.”

“Sebelum ini juga TFC telah ditundukan Pahang 4-0 di Darul Makmur bagi saingan Piala FA dan secara agregatnya 5-2, TFC tersingkir dipusingan suku akhir. Pihak pengurusan secara drastik telah melakukan Mesyuarat Postmortem yang dihadiri oleh semua barisan kejurulatihan.”

Irfan Bakti letak jawatan

“Mengakui keadaan semasa pasukan TFC yang tidak menentu dan konsisiten, Ketua Jurulatih di dalam mesyuarat khas telah memanjangkan permohonan perletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih TFC serta merta.”

Irfan
Irfan Bakti (Foto: Berita Harian)

“Pihak pengurusan pasukan juga telah mengambil kira semua aspek dan bersetuju serta menghormati keputusan nekad yang dibuat oleh Haji Irfan Bakti di atas prestasi buruk pasukan. Hasrat perletakan jawatan tersebut telah diluahkan dengan kerelaan hati dan hal ini akan dimuktamadkan melalui cara dan prosedur yang betul.”

Nafuzi Zain jadi interim

“Bagi meneruskan bimbingan latihan pasukan, pihak pengurusan telah memberi mandat kepada Penolong Ketua Jurulatih Mohamad Nafuzi Zain untuk mengalas tugas-tugas Ketua Jurulatih sementara waktu yang kekosongan sehinggalah PBSNT menemui calon yang bersesuaian bagi meneruskan cabaran 9 perlawanan Liga Super dan saingan Piala Malaysia.”

PBSNT kesal tuduhan tak bayar gaji

“PBSNT juga menafikan sebarang tohmahan yang dilemparkan menyatakan bahawa aksi yang tidak menentu dan kekalahan memalukan berpunca dari kegagalan pembayaran gaji kepada pemain tidak benar sama sekali.”

“Sebagaimana yang dimaklumkan, PBSNT menaungi TFC 1, TFC 2, TFC 3, TFC 4 dan TFC 5. Pembayaran gaji semuanya dalam tempoh 25 haribulan dan paling lewat 7 haribulan setiap bulan. Selain itu, bonus kemenangan yang dijanjikan bagi setiap perlawanan diuruskan dengan baik.”

“PBSNT amat mengharapkan agar pasukan TFC kembali bangkit dan cepat memposisikan kedudukan untuk mengharungi cabaran yang berbaki. Dengan keputusan pemilihan Mohamad Nafuzi Zain sebagai ‘caretaker’ atau pengendali sementara, diharap beliau mampu menjalankan tugas seterusnya membantu pasukan sebaik yang mungkin.”

Terima kasih Irfan Bakti

“Manakala jasa Tuan Haji Irfan Bakti Abu Salim akan sentiasa dikenang kerana telah menyumbang bakti kepada bolasepak Terengganu dengan kejayaan-kejayaan sebelum ini.”

Irfan Bakti / foto: Berita Harian

“Pada tahun 2011 membawa Terengganu menjuarai Piala FA, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC 2012 buat pertama kalinya dalam sejarah.”

“Kembalinya buat kali ke-2 pada tahun 2017 merangkul Naib Juara Liga Premier membawa pasukan ke Liga Super 2018 serta Naib Juara Piala Malaysia 2018. Seluruh keluarga besar bolasepak Terengganu tidak harus melupakanya.”

“Kepada seluruh peminat bolasepak Terengganu, sokongan amat diperlukan ketika ini untuk membawa pasukan kembali gah mengharungi saingan yang masih berbaki. Pemain ke-12 merupakan sebahagian nadi kejayaan sesebuah pasukan. Sekian terima kasih”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN