PBJ Mahu KAFA Segerakan EGM Untuk Memilih Presiden Dan Ahli Exco Baharu

Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) mengesa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar menyegerakan mesyuarat agung luar biasa bagi memilih presiden dan barisan exco baharu.

Menurut PBJ, mereka tidak mahu kelengahan berbuat demikian akan memberikan impak kepada bola sepak dan pasukan Kelantan FA.

Ini selepas Bibi Ramjani mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Presiden KAFA menerusi pengumuman di laman sosial beliau. Bibi Ramjani menyatakan surat perletakan jawatan secara rasmi akan diserahkan kepada KAFA dalam masa terdekat.

PBJ turut meminta agar Bibi Ramjani meletakkan jawatan dengan segera.

Dipetik daripada sumber Bernama, Wakil PBJ, Kamarudin Mohamad berkata: “EGM perlu diadakan dengan segera oleh kerana presiden telah mengumumkan meletak jawatan.”

“Begitu juga dengan Bibi Ramjani Ilias Khan kami mahu beliau menyerahkan surat peletakan jawatan secepat mungkin.”

Beliau menjelaskan EGM tersebut harus dibuat dalam masa 21 hari selepas memorandum mereka hantar kepada KAFA pada hari ini.

PBJ mengesahkan memorandum tersebut telah diterima oleh Setiausaha Eksekutif KAFA iaitu Ariff Hassan.

Wakil PBJ juga berkata mereka sudah ada beberapa calon untuk menggalas tugas sebagai Presiden KAFA yang baharu.

Kamarudin berkata: “Calon sudah ada dan mereka telah bersetuju untuk dicalonkan namun tidak baik kita umumkan sekarang senarai calon-calon terbabit.”

Dan beliau mahukan ahli Exco KAFA yang ada ketika ini mengambil serius akan desakan agar EGM ini disegerakan.

Kamarudin juga meminta maaf kepada semua pihak kerana menurut beliau mereka antara orang yang terlibat dalam menyokong perlantikan Bibi Ramjani dan ahli-ahli exco sebelum ini.

Sebaliknya, perlantikan itu boleh dikatakan gagal untuk membantu bola sepak Kelantan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram