Paul Scholes: Kisah Tawaran Dari Inter Milan & Penyesalan Terbesar Dalam Karier

Paul Scholes amat sinonim dengan istilah “onep-man-club”. Di dalam bola sepak istilah tersebut merujuk kepada pemain yang hanya mewakili satu kelab sahaja sepanjang karier mereka yang gemilang.

Secara purata seorang pemain mampu beraksi selama 15 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ramai yang mampu beraksi sebegitu lama hanya dengan sebuah pasukan. Akan tiba pada satu fasa, penghijrahan akan berlaku untuk pengalaman baharu atau ketika khidmat seseorang pemain sudah tidak diperlukan.

Paul Scholes adalah antara pemain yang berada di dalam kumpulan “one-man-club ini. Walaupun beliau beraksi bersama Manchester United sejak dari mula sehingga bersara, tempoh beliau bersama skuad kebangsaan England bagaimanapun agak singkat.

Ini adalah kisah karier Paul Scholes.

One man club

Paul Scholes beraksi hanya bersama Manchester United sepanjang karier profesionalnya. Beliau pernah bersara, dan kemudian sekali lagi kembali untuk memperkuatkan jentera tengah skuad The Red Devils.

Satu pertanyaan yang sentiasa menjadi persoalan ramai penyokong United adalah, mungkinkah Scholes akan ke San Siro untuk menyertai Inter Milan ketika bersama United?

Tidak ramai pemain yang hanya setia kepada satu kelab seperti Paul Scholes. Kelab Serie A itu dikatakan salah satu kelab yang pernah cuba memancing Paul Scholes dari Old Trafford.

Bercakap kepada BBC dalam satu temubual, Scholes sempat berkongsi kisah satu panggilan telefon mengaitkan beliau dengan perpindahan tersebut.

“Saya tidak pernah tahu mengenai pasukan lain yang berminat dengan saya. Saya cuma pernah menerima satu panggilan telefon daripada bekas ejen Bryan Robson.

“Beliau menghubungi saya ketika tugasan di Euro 2000, dan bertanya sama ada saya berminat untuk ke Inter Milan, dan itulah satu-satunya panggilan saya pernah terima.

“Saya tidak pernah mendengar apa-apa selepas itu, dan pengurus [Sir Alex Ferguson] juga tidak pernah berkata apa-apa kepada saya.

“Saya beraksi di kelab yang saya sokong sejak zaman kanak-kanak. Saya juga berasal dari Manchester, dan kami juga memenangi banyak trofi pada ketika itu.

Tetap setia

Scholes sememangnua dikenali sebagai pemain yang amat setia. Hubungan beliau dengan pengurus pasukan, Sir Alex Ferguson juga amat baik.

“Hanya jika pengurus berkata tidak mahukan saya lagi, maka sudah tentu saya akan pergi ke kelab besar di luar yang mahukan khidmat saya.

“Tetapi tidak pernah ada keperluan untuk memikirkan minat dari Barcelona, Real Madrid atau AC Milan lagi kerana saya sudah pun berada di kelab terbesar dunia pada ketika itu.

“Kami mungkin tidak memenangi Champions League sekerap yang kami mahukan, tetapi kami telah membuktikan pasukan ini setara atau lebih baik berbanding yang lain.”

Pada 2018, Presiden Inter Milan Massima Moratti mendedahkan Inter Milan pernah cuba memancing pemain tengah England itu, namun gagal berbuat demikian.

Sepanjang bersama United, Paul Scholes telah meraih 11 kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dan dua kejuaraan Champons League, dan beliau hanya beraksi di bawah seorang pengurus iaitu Sir Alex Ferguson sepanjang tempoh di Old Trafford.

Penyesalan Scholes

Jika ada perkara yang Paul Scholes kesali, maka ia adalah berkenaan karier antarabangsanya bersama England.

Scholes adalah antara bintang England yang beraksi di Piala Dunia 1998, diikuti dengan kejohanan Euro 2000.

Di Euro 2004, Scholes dikorbankan untuk beraksi di sayap kiri, untuk menempatkan Steven Gerrard dan Frank Lampard dalam posisi 4-4-4-2.

Beliau kemudiannya bersara selepas itu, pada usia hanya 29 tahun. Ramai bertanggapan Scholes bersara disebabkan oleh kecenderungan Sven Goran Eriksson meletakkan beliau di posisi sepatutnya.

Sebab sebenar tinggalkan England

Ramai tidak mengetahui kisah sebenar di sebalik persaraan awal Paul Scholes bersama The Three Lions. Walaupun menyesal, Scholes mempunyai penjelasan dan keutamaan lain yang perlu diberikan perhatian pada ketika itu.

“Saya menyesal tinggalkan England terlalu awal,” kata Paul Scholes.

“Saya mempunyai keluarga yang muda pada ketika itu, dan berjauhan bersama England untuk 10 hari, dan sehingga enam minggu pada musim panas, ia sangat tidak ideal. Saya tidak menggemarinya,” kata Scholes kepada BBC.

“Saya tahu ramai yang bertanggapan ia kerana Sven-Goran Eriksson meletakkan saya di posisi sebelah kiri di bahagian tengah, tetapi ia sebenarnya tidak pernah menjadi masalah.

“Prestasi saya pada 20 sehingga 30 caps terakhir tidak cukup baik, dan Steven [Gerrard] dan Frank [Lampard] pada ketika itu adalah dua pemain berkelas dunia yang beraksi di bahagian tengah (central midfielder).

“Saya bermain di sebelah kiri, dan sememangnya kerap kali beraksi di posisi tersebut ketika bersama United, dan hasilnya agak baik. Saya menjaringkan beberapa gol dari posisi tersebut, jadi ia tidak pernah menjadi sebab saya meninggalkan England.

“Ia lebih kepada sebab peribadi. Saya memang menyesal tinggalkan England begitu awal.

“Saya kembali ke United dan bola sepak yang saua mainkan juga berubah. Sebelum itu saya adalah pemain England yang sentiasa diharapkan untuk menjaringkan gol. Begitulah saya dinilai sebelum itu.”

Peranan Sir Alex Ferguson

Scholes kemudian turut berkongsi bagaimana peranan Sir Alex terhadap kelangsungan kariernya bersama Manchester United.

“Sir Alex Ferguson mahu melihat saya terus boleh bermain dengan baik pada usia 30an, dan beliau sedar saya perlukan posisi baharu. Saya diletakkan lebih ke belakang, dan menguasai permainan dari midfield.

“Saya diberikan peranan untuk beraksi lebih ke bawah (sitting deep), dan saya tidak pernah beraksi sebegitu ketika bersama England.

“Akhirnya saya memainkan peranan tersebut selama lima atau enam tahun, dan pada usia tersebut, 30-35 tahun mungkin adalah detik terbaik dalam karier saya.

“Saya sukakan posisi tersebut. Saya jarang menjaringkan gol kerana sentiasa berada di belakang untuk menguasai permainan, dan saya gemar melakukan itu.

“Tetapi saya berhenti terlalu awal bersama England, untuk beraksi di posisi yang sama.”

Pernah dipancing semula

Scholes juga mendedahkan beliau pernah terfikir untuk kembali menyertai skuad The Three Lions, namun beliau hanya pernah mendapat panggilan sekali sahaja selepas mengambil keputusan untuk bersara.

“Ia adalah sebelum Piala Dunia di Afrika Selatan. Saya beraksi dengan baik pada musim tersebut, dan mereka [England] mengalami beberapa masalah kecederaan.

“Fabio Capello mahukan saya kembali, dan menerima panggilan daripada Stuart Pearce yang merupakan salah seorang staff Capello.

“Saya mempunyai beberapa hari untuk berfikit, dan berpendapat saya telah beraksi dengan baik [bersama United]. Tetapi saya berpendapat ia adalah tindakan yang tidak patut.

“Saya tidak terlibat dengan pusingan kelayakan dan ada lagi pemain lain yang telah berkorban berjauhan dari keluarga mereka selama dua tahun sebelum itu.

“Capello tidak menghubungi saya. Jika beliau yang berbuat demikian, ia mungkin berbeza. Mungkin beliau boleh meyakinkan saya. Adakah ia sesuatu yang saya kesali pada hari ini?

“Mungkin juga, kerana pada ketika itu prestasi saya amat baik sekali.”

Penutup

Scholes adalah contoh profesional yang hanya memberi fokus kepada permainan dan prestasi di atas padang, contoh terbaik pemain yang benar-benar beraksi untuk lencana di dada.

Memiliki sentuhan pertama yang elegan, keupayaan melakukan hantaran dengan visi yang dilabel genius, dan sudah tentu juga terjahan keras yang tidak semena-mena sebagai balasan kepada pemain lawan yang melakukan terjahan terlebih dahulu adalah pelengkap mengapa beliau digelar legenda dan akan dikenang oleh penyokong setia Manchester United sehingga ke hari ini.

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca artikel menarik lain dari kami melalui pautan di bawah:

Kenali 10 Pemain Yang ‘Setia’ Dalam Saingan Liga Perdana Inggeris (Bahagian 1)

12 Pemain Yang Perlu Jadi Tumpuan Di Liga Super 2021

Mengenang Gol Tiki-Taka Penang FC Yang ‘Mendonia’ Di Musim Gemilang 2020

Leave a Reply