Pasukan Ronaldinho Menang 11-2 Lawan Pengawal Penjara Paraguay

Bekas bintang bola sepak dunia, Ronaldinho membantu pasukannya menang 11-2 dalam perlawanan bola sepak persahabatan menentang pasukan pengawal penjara Paraguay, menurut laporan media Paraguay.

Ronaldinho turut dilaporkan menjaringkan lima gol dan menyumbang enam bantuan gol dalam perlawanan tersebut.

Bekas bintang Barcelona yang kini berusia 39 tahun itu dihukum penjara enam bulan baru-baru ini kerana kesalahan menggunakan dokumen palsu untuk memasuki sempadan Paraguay. turut ditahan adalah abangnya, Roberto dan rakan niaga mereka, Roberto Assis.

Ronaldinho dilaporkan direkrut masuk dalam pasukan banduan yang diketuai oleh Fernando Gonzalez Karjallo – bekas presiden kelab bola sepak divisyen satu Paraguay, Club Sportivo Luqueno. Fernando dipenjara bersama bapanya, Ramon Gonzalez Daher yang juga merupakan bekas naib presiden Persatuan Bola Sepak Paraguay.

Fernando dan bapanya dipenjara bersama-sama atas kesalahan penggubahan wang haram dan rasuah.

Menentang pasukan lawan yang dianggotai oleh polis rusuhan penjara dan pegawai atasan penjara, Fernando pada mulanya mengalami kesukaran untuk mengajak Ronaldinho bermain dalam pasukannya.

Menurut laporan rancangan TV Paraguay, Crimen y Castigo, Ronaldinho pada mulanya agak keberatan untuk bermain dengan memberi alasan – tiada kasut sesuai.

Tetapi masalah itu kemudiannya pantas diselesaikan selepas seorang polis rusuhan penjara meminjamkan kasut bolanya kepada Ronaldinho.

Ketika perlawanan berlangsung, timbalan ketua warden penjara tersebut, Miguel Cuevas dikatakan diberi tugas mengawal ketat Ronaldinho sepanjang perlawanan.

Tetapi dengan laporan yang mengatakan Ronaldinho menjaringkan lima gol dan menyumbang enam bantuan gol, boleh dikatakan agak bernasib baik Cuevas diberi tanggungjawab mengawal penjara – bukannya pemain lawan di padang bola.

Video salah satu gol Ronaldinho dalam perlawanan tersebut juga boleh dilihat di pautan Twitter di bawah:

Reaksi netizen Paraguay terhadap berita ini sememangnya kelakar.

Ramai yang mahu aksi Ronaldinho bermain untuk pasukan banduan penjara yang menyerupai plot filem Hollywood ‘The Longest Yard’ ini disiarkan secara langsung – berikutan penangguhan banyak perlawanan bola sepak di dunia angkara wabak COVID-19 ketika ini.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Ronaldinho:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram