Pasukan Melaka United Bantu Mangsa Kemalangan Dalam Perjalanan Pulang Dari Larkin

Tolong- menolong merupakan suatu kewajipan bagi setiap manusia. Mengamalkan sikap tolong- menolong akan dapat membantu orang lain yang memerlukan.

Kita harus menanamkan sifat saling bantu membantu atau tolong menolong di mana sahaja tanpa mengira status, pangkat, bangsa, agama, miskin atau kaya.

Sumber: MUSA, Facebook.

Itulah sikap yang dipaparkan oleh skuad Melaka United pada awal pagi tadi. Walaupun keletihan selepas menghadapai perlawanan menentang pasukan Johor Darul Ta’zim, mereka sentiasa tampil bersedia menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

Setelah tamat perlawanan di Larkin, skuad Melaka United terus kembali ke Melaka dengan menaiki bas rasmi pasukan mereka.

Sumber: MUSA, Facebook.

Secara kebetulan, bas yang mereka naiki terserempak dengan sebuah kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang dinaiki oleh dua wanita. Kemalangan dipercayai berlaku di lebuhraya PLUS, di laluan masuk Pagoh Muar (Exit 238).

Bas pasukan Melaka yang kebetulan berada di belakang kenderaan terbabit lantas berhenti untuk memberi pertolongan kecemasan kepada mangsa, sementara menanti bantuan tiba di lokasi kemalangan.

Dalam kejadian tersebut, dua wanita yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami kecederaan ringan, walaupun situasi kenderaan yang dinaiki tampak teruk sehingga terbalik dan melintang di tengah lebuhraya.

Sumber: MUSA, Facebook.

Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan Melaka United, iaitu Dr.Adivan dan dibantu oleh Vladimir Gramblica serta Rozairen yang merupakan fisioterapi pasukan Melaka United.

Keseluruhan skuad Melaka United dilaporkan berada di situ bersama mangsa, sehingga bantuan daripada unit peronda PLUS, dan ambulan tiba untuk membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Sumber: MUSA, Facebook.

Walaupun tewas 3-0 kepada JDT dalam perlawanan unifi Liga Super Malaysia dalam perlawanan minggu keempat, Melaka United tetap gagah di mata kami atas usaha murni, memberi bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

Ia adalah satu tindakan terpuji dan wajar dicontohi oleh segenap rakyat Malaysia. Tahniah dan syabas Melaka United! Anda adalah wira di mata kami.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram