Pasrah Jika Piala AFC Dibatalkan, Terengganu Akan Berjuang Untuk Layak Tahun Depan

Nafuzi Zain Terengganu Piala AFC

Harapan Terengganu dan Kedah untuk beraksi di Piala AFC 2021 nampaknya semakin tipis selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kenyataan terbaharu menyatakan kejohanan itu berkemungkinan terpaksa dibatalkan.

Badan pengelola bola sepak itu sehingga kini masih buntu untuk mencari negara yang sudi menjadi tuan rumah untuk semua perlawanan peringkat kumpulan.

Ini ekoran keputusan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 27 Mei lalu mengumumkan penarikan diri daripada menjadi tuan rumah disebabkan kemasukan pasukan dari luar yang dibimbangi akan memberi kesan kepada komuniti.

Sekiranya dapat diteruskan juga, format pertandingan akan diubah kepada pusingan kalah mati dengan tiada aksi di peringkat kumpulan.

Ketua Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain dalam temubualnya bersama The Star mengakui beliau kecewa dengan perkembangan terbaharu ini memandangkan semua pihak termasuk pihak pengurusan, pemain dan penyokong semuanya sudah bersedia untuk melihat pasukan itu beraksi di peringkat Asia.

“”Secara peribadi, saya kecewa kerana ini sepatutnya menjadi tahun pertama saya akan membawa pasukan bermain di peringkat Asia,” ujar jurulatih berusia 42 tahun itu.

“Bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini, tetapi kami perlu terima apa sahaja keputusan yang dibuat [oleh pihak AFC].

“Kami faham dengan situasi yang berlaku kerana memang sukar untuk menganjurkan kejohanan dalam keadaan seperti ini. Malah Malaysia sendiri tidak mampu menjadi tuan rumah disebabkan situasi pandemik di sini. Agak mustahil untuk mendapatkan tuan rumah dalam masa terdekat ini.”

Terengganu telah diletakkan dalam Kumpulan I bersama kelab Singapura, Geylang International dan pasukan dari Filipina, Kaya-Iloilo. Satu lagi tempat akan ditentukan oleh kelab Kemboja atau Timor Leste.

Sebuah lagi pasukan dari Malaysia, Kedah pula diletakkan dalam satu kumpulan dengan Persipura Jayapura dari Indonesia, kelab Singapura, Lion City Sailors, serta pasukan dari Vietnam, Saigon dalam Kumpulan H.

“Semua pemain agak tersentak apabila Singapura mengumumkan mereka tidak dapat menjadi tuan rumah kejohanan. Selepas itu, mereka semua sudah bersedia dengan apa sahaja kemungkinan,” ujar Nafuzi lagi.

“Saya bersimpati dengan mereka kerena mereka dah meninggalkan orang tersayang bagi membuat persediaan untuk kejohanan ini menerusi latihan kem berpusat, tetapi kini kami perlu menerimanya.

“Jadi kami akan berjuang untuk layak ke kejohanan sama untuk tahun depan.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Tiada Saingan Piala AFC Buat Kedah & Terengganu Musim Ini

Syamer Kutty Abba, Pemain Paling Menyerlah Disebalik Kecewanya JDT

Safiq Rahim: Legenda Hidup Harimau Selatan Yang Masih Mengaum Gagah

Leave a Reply