Hasil Kerja Park Hang-Seo Bersama Vietnam Jadi Kebanggaan Korea Selatan

Menjelang aksi perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 esok, ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-Seo mendapat sedikit perkhabaran gembira. Ini kerana beliau adalah salah seorang dari penerima “Persons of the Year 2018 Awards” yang dianjurkan oleh Persatuan Kewartawanan Korea (JAK).

Majlis untuk penyampaian anugerah khas itu telah diadakan pada 12 Disember lalu di Seoul. Ia bertujuan mengiktiraf individu-individu tertentu yang telah mengharumkan nama negara republik itu sepanjang tahun.

Sumbangan terhadap bola sepak Vietnam

Park diiktiraf atas hasil kerja beliau membangunkan bola sepak di Vietnam – sekaligus turut memberi nama baik kepada Korea Selatan.

Setelah lebih setahun tiba di Vietnam, pengendali berusia 59 tahun itu mengejutkan dunia bola sepak Asia apabila berjaya membawa skuad Bawah 23 negara tersebut mara ke perlawanan akhir Piala AFC B-23 pada Januari lalu.

Selain daripada itu, Park turut berjaya membawa Vietnam mara ke separuh akhir Sukan Asia yang berlangsung di Indonesia – dan bakal melakukan penentuan dengan Malaysia untuk dinobatkan selaku jaguh bola sepak Asia Tenggara. Hari ini Vietnam juga menduduki tangga ke-100 dunia di dalam ranking FIFA hasil keputusan memberangsangkan skuad Naga Emas di perlawanan antarabangsa sejak setahun lalu.

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)
Kebanggaan Korea Selatan

Park bukan sahaja menjadi wira di kalangan rakyat Vietnam. Lebih daripada itu, pakar taktikal ini juga adalah kebanggaan rakyat Korea Selatan.

Disebabkan itu, media-media di Korea Selatan mengikuti rapat perkembangan park dan pasukan Vietnam. SBS TV yang dikendalikan oleh Seoul Broadcasting System sanggup membida untuk menjadi penyiar rasm Piala AFF Suzuki 2018 di negara berkenaan kerana terdapatnya permintaan dari rakyat Korea Selatan.

JAK merupakan organisasi terbesar di dalam bidang kewartawanan di Korea Selatan, dengan lebih 10,000 ahli berdaftar – dan mempunyai pengaruh paling besar di setiap rangkaian media di negara itu meliputi media cetak, penyiaran, media digital dan agensi berita.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram