Paralimpik: Aksi Gelecek Luar Biasa Pemain Brazil Sebelum Ledak Gol “Top Corner”

Skuad bola sepak Paralimpik Brazil memenangi pingat emas dalam acara bola sepak lima sebelah, menewaskan Argentina 1-0 di perlawanan akhir selepas gol luar biasa oleh Raimundo Mendes.

Ketika bola berada di kawalannya, perlawanan masih berbaki lapan minit. Namun apa yang berlaku seterusnya membuatkan siapa sahaja yang menyaksikan gerakan oleh pemain itu berasa kagum.

Mendes dengan tenang menggelecek dua pemain dengan gerakan body feint memukau, dan menyudahkannya dengan satu ledakan yang menuju penjuru atas dengan menggunakan bahagian luar kaki kirinya.

Brazil mendominasi pertandingan bola sepak Paralimpik di Tokyo ini apabila menang semua perlawanan tanpa dibolosi sebarang jaringan.

Bermula dengan kemenangan 3-0 ke atas China, pasukan dari Amerika Selatan itu terus gagah menewaskan Jepun 5-0, diikuti Perancis dengan jaringan 4-0, sebelum menjadikan Maghribi mangsa di separuh akhir dengan kemenangan 1-0.

Brazil meraikan kemenangan menewaskan Argentina dengan meriah sekali. Ia adalah pingat emas kelima berturut-turut buat Brazil di temasya sukan ini sejak 2005 – ketika bola sepak diperkenalkan di Paralimpik.

Dalam satu lagi perlawanan untuk menentukan pemenang pingat gangsa, Maghribi nyata terlalu kuat untuk China. Zouhair Snisla menjaringkan semua empat gol dalam perlawanan itu untuk memastikan negarnya menang 4-0.

Di dalam sukan bola sepak di Paralimpik yang dimainkan secara lima sebelah, empat pemain kurang upaya harus ditutup mata ketika beraksi. Hanya penjaga gol dibenarkan untuk melihat ketika perlawanan.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply