‘Panggilan Kecemasan’ Buat Safiq Rahim Sebagaimana Shukor Adan Pada Piala AFF 2014?

Safiq Rahim Harimau Malaya Malaysia

Masih ingat bagaimana bekas pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh memanggil semula Shukor Adan untuk bersama skuad Harimau Malaya ke Piala AFF 2014 dan adakah ia boleh berlaku kepada Safiq Rahim?

Melihat pandangan ‘Pakcik Ishak’ dalam rancangan terbitan Astro Arena, [email protected] pada Isnin lalu, jelas skuad negara memerlukan pemain berkarekter ataupun jeneral di dalam padang dalam aksi antarabangsa.

Daripada senarai yang berada di ‘kolam’ pengendali, Tan Cheng Hoe, nampaknya seperti kita ketiadaan pemain sebegitu. Kapten ketika ini, Aidil Zafuan Abdul Razak dilihat gagal membimbing rakan-rakan sepasukannya. Brendan Gan yang memiliki semangat pahlawan juga sudah ‘hilang’ daripada radar buat sementara waktu.

Selain Aidil Zafuan, kepada siapa lagi pemain-pemain boleh pandang? Rata-rata skuad negara ketika ini dibarisi pemain-pemain yang masih muda. Jadi, perlukah Cheng Hoe menimbangkan untuk memanggil Safiq Rahim?

Karisma dan sifat kepimpinan Safiq Rahim mungkin masih diperlukan skuad negara ketika ini. Jika kita mahu berikan lilitan kapten kepada Farizal Marlias, ia juga dilihat kurang berkesan kerana pemain-pemain memerlukan aura kapten dan pengaruh di tengah padang. Tidak dinafikan, sifat bekengnya mungkin diperlukan mereka.

Bak kata Ishak Mohamad kepada [email protected], “Main bola macam pi rumah orang mati [senyap], tak boleh.”

Ia bukan panggilan yang mustahil kerana Dollah Salleh pernah membuat kejutan menyenaraikan Shukor Adan.

Sebelum saingan Piala AFF Suzuki 2014, Safiq Rahim merupakan kapten pasukan, namun apabila Dollah Salleh mengambil keputusan memanggil semula Shukor Adan ke dalam pasukan, penghormatan diberikan kepadanya.

“Saya kembali daripada persaraan atas rasa hormat dipanggil oleh Dollah Salleh dan mahu berbakti untuk negara. [Kini] saya perlu bersara [kembali],” ungkapnya selepas berjaya memimpin skuad yang langsung tidak diberikan harapan itu mara sehingga ke pentas final sebelum tewas tipis 3-4 secara agregat kepada Thailand.

Karekternya sebagai jeneral jelas terserlah, itulah punca lilitan kapten diserahkan kepadanya oleh Safiq Rahim, yang kekal sebagai Raja Padang. Inilah dua benda yang perlu ada dalam padang – jeneral dan Raja Padang.

Dollah Salleh telah dikritik kerana memanggil ‘kuda-kuda’ tua. Beliau pula baru sahaja dilantik sebagai nakhoda Harimau Malaya pada Jun, beberapa bulan sebelum saingan bermula. Apa saja yang mampu disediakannya?

Kembali kepada panggilan buat Safiq Rahim, penulis rasa panggilan ‘kecemasan’ ini diperlukan oleh Cheng Hoe untuk skuad ini. Beliau bukan sahaja boleh bertindak sebagai jeneral, tetapi juga Raja Padang sekaligus.

Namun, jika Cheng Hoe merasakan yang faktor usia akan membataskan aksinya, tiada masalah untuk hanya memberikannya aksi yang minimum. Sebagaimana di Johor Darul Ta’zim (JDT), beliau tidak turun bermain sepenuh masa, tetapi adakalanya, beliau akan diturunkan – enam kali dalam skuad utama daripada 13 aksinya.

Dan prestasinya masih ditahap yang boleh kita katakan sama. Beliau masih mampu membentuk kombinasi bersama generasi baharu JDT walaupun sudah dua musim meninggalkan mereka. Ini kualiti yang ada padanya.

Dengan hanya satu kemenangan daripada tujuh perlawanan yang dilalui tahun ini, jelas skuad ini memerlukan jeneral kerana Aidil Zafuan seorang sahaja dilihat tidak mancukupi – sikapnya juga tidak terlalu ‘garang’. Mereka juga kehilangan Shahrul Saad yang memiliki sifat kepimpinan – yang masih dalam proses pemulihan.

Seperti kata Safee Sali dalam rancangan [email protected], garang tidak semestinya maki hamun di dalam padang, tetapi jeneral adalah yang memiliki suara untuk menegur jika ada pemain-pemain yang leka atau lalai serta memberikan arahan kepada rakan sepasukan. Malaysia memerlukan seorang jeneral yang berketrampilan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply