Pahang Intai Peluang Pintas Perak Di Tangga Kedua Liga Super

Pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh menuntut para pemainnya mempamerkan aksi mantap apabila bakal menentang PKNP FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak malam ini.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian, berharap rentak kemenangan dapat diteruskan malam ini selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-0 minggu lepas.

“Jaringan Austin Amutu dan Issey Nakajima diharap dapat diteruskan apabila bertemu PKNP esok.

“Fokus utama adalah untuk mencatat kemenangan dan semua pemain perlu beraksi pada prestasi terbaik biarpun bakal diberi tentangan sengit,” katanya.

Patrick Cruz tidak dapat beraksi malam ini akibat kecederaan. FOTO: Pahang FA

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Sufian Awang meminta skuad itu tidak terlepas mata dalam usaha merapatkan jurang dengan pasukan teratas liga.

Beliau juga sedar pasukan tuan rumah sudah pasti memberi tentangan sengit kerana mereka juga mahu meraih tiga mata.

“Sebagai motivasi, saya percaya kemenangan ke atas Kuala Lumpur akan membantu menaikkan semangat semua pemain untuk mengekalkan permainan lebih konsisten.

“Menang ke atas PKNP akan membantu untuk tampil dengan lebih yakin dan terus memberi tekanan kepada pasukan yang berada di tangga teratas liga,” katanya.

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC resah tidak dapat menggunakan khidmat 2 tonggak utamanya, Mohd Hafiz Ramdan dan Mohamad Ezanie Mat Salleh.

Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengesahkan kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan dan terpaksa disisihkan untuk aksi bertemu Pahang malam ini.

“Hafiz cedera ketika perlawanan menentang Perak baru-baru ini. Ketiadaannya pasti dirasakan kerana dia banyak membantu menghasilkan gol selain sudah menyumbang lima gol untuk PKNP FC.

“Bagaimanapun kami ada pemain bagi menggantikan kekosongan itu nanti,” katanya.

Kelihatan awang import baharu sedang menjalani latihan dengan PKNP FC. FOTO: PKNP

Abu Bakar bagaimanapun sedar tugas berat dihadapi anak buahnya kerana bertemu pasukan yang menduduki tangga ketiga liga setakat ini.

“Perlawanan ini pastinya tidak mudah kerana Pahang bukan calang-calang pasukan. Kami perlu mengamalkan corak pantas serta tidak memberi ruang kepada lawan bertindak,” katanya.

PKNP FC dijangka akan menurunkan dua import baharu iaitu penyerang, Karl Max Dany dari Chad dan pertahanan, Kim Sang Woo, (Korea Selatan).

Selepas 12 perlawanan, Pahang kini menduduki tangga ketiga dengan mengutip 21 mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pendahulu dengan 29 mata manakala Perak di tangga kedua (23 mata).

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram