Pahang Dikhabarkan Bakal Tagih Sentuhan Sergio Aguero

Kerjasama Semuanya BOLA

Sergio Aguero Pulau Pinang 2019 Pahang 2021

Selepas kehilangan khidmat kapten, Dickson Nwakaeme, Pahang sudah memulakan langkah untuk mencari penggantinya dan calonnya adalah Sergio Aguero.

Beliau bukanlah Sergio Aguero yang beraksi bersama Manchester City. Jika anda mengikuti bola sepak tempatan, anda sudah tentunya mengenali pemilik nama ini. Mungkin penyokong Melaka United dan Pulau Pinang paling mengingatinya kerana beliau pernah beraksi bersama mereka selain Selangor United dan KL Rovers FC.

Aksinya bersama Pulau Pinang adalah antara yang terbaik dalam kariernya di Malaysia apabila membantu mereka untuk meraih promosi ke Liga Super 2020 sebelum ianya dinafikan atas faktor teknikal – pemotongan mata akibat masalah tunggakan gaji.

Pada musim tersebut, beliau membentuk gandingan mantap yang pastinya berada dalam ingatan penyokong Harimau Kumbang bersama Casagrande dan Julian Bottaro. Beliau meledak lima gol dalam tujuh penampilannya di Liga Premier 2019.

Menurut perkongsian wartawan The Star, T. Avineshwaran, Pahang dilihat telah sah menandatangani Sergio Aguero semalam. Selain itu, satu perkongsian di Instagram menerusi akaunnya, Sergio Aguero mengesahkan penyertaannya bersama Tok Gajah.

Titipnya di Instagramnya malam tadi, “Memang telah menjadi impian saya sejak tiba di Malaysia 4 tahun lalu, untuk bermain bersama pasukan besar seperti Sri Pahang FC. Saya berjanji akan membalas segala kepercayaan anda, dalam dan luar padang.”

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Abdul Rahman ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah [Presiden Sri Pahang FC] dan Datuk Mohammed Suffian Bin Awang [Pengurus Sri Pahang FC] atas peluang dan kepercayaan untuk menjadi sebahagian keluarga Sri Pahang FC,” tambahnya.

Pentas Liga Super tidaklah terlalu asing buat dirinya apabila pernah beraksi ketika menyarung jersi Melaka United pada musim 2017. Begitupun, tiada sebarang jaringan mampu dihasilkannya dalam lapan penampilan sebelum tempatnya digantikan.

Dengan penyertaannya ke kem Tok Gajah, Sergio Aguero nampaknya bakal berdepan semula dengan bekas pasukannya, Pulau Pinang yang berjaya meraih promosi ke Liga Super sekali lagi, selepas ketiadaannya musim ini dan juga Melaka United.

KREDIT FEATUED IMAGE: FA PENANG

Baca lagi artikel mengenai Sergio Aguero dan Pahang:

Prestasi Trio ‘ABC’ Kembali Lonjak Kedudukan Pulau Pinang

Hafiz Kamal: Davy Angan, Aguero Mampu Beri Saingan Sengit Buat JDT

Faisal Halim, Dickson Nwakaeme Sah Tidak Lagi Bersama Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram