PAFA Dapat Kunci Kompleks Bolasepak Perak

Kompleks Bolasepak Perak

Kompleks Bolasepak Perak yang sebelum ini dibiarkan tanpa sebarang aktiviti sekaligus menimbulkan persoalan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dilihat bakal mendapat ‘nafas’ baharu.

Hal ini kerana pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaporkan telah menyerahkan kunci kompleks tersebut kepada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA). Berita yang pastinya disambut baik para penyokong pasukan Perak.

Menurut sumber laman Facebook rasmi PAFA, majlis serahan itu telah disempurnakan oleh Jurutera Awam Penguasa Bangunan JKR Perak, Muhammad Harridzuan Abdullah kepada Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamad Azlin Mohd Nadzri.

Sekitar majlis penyerahan kunci Kompleks Bolasepak Perak.

Kompleks yang terletak di Chepor itu memiliki dua padang, masing-masing satu rumput sintetik dan rumput semulajadi serta turut dilengkapi dengan astaka tempat duduk penonton dan beberapa kemudahan lain lagi.

Difahamkan padang sintetik tersebut hanya boleh digunakan untuk latihan manakala padang rumput pula boleh digunakan untuk sesebuah perlawanan kerana ia mengikut spesifikasi antarabangsa.

Para pemain Perak IV sudah mula menjalani latihan di Padang Sintetik Kompleks Bolasepak Perak.

Pasukan Perak di bawah PAFA sejak bertahun-tahun terpaksa berpindah-randah dengan menumpang beberapa padang kelolaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuk di Stadium Perak, Perbadanan Wira Niaga Malaysia (PERNAMA) serta padang Kelab Sukan dan Rekreasi China Perak (PCRC).

Semoga dengan perkembangan terkini tersebut dapat memberikan sinar yang lebih baik buat PAFA dalam menangani masalah ini.

Dalam pada itu, Mohamad Azlin turut berkesempatan meninjau sesi latihan skuad Perak IV (B-19) yang dikendalikan bekas pemain Perak, Syahman Zainuddin.

Kredit foto: Perak TBG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram