Oxlade-Chamberlain: Liverpool Tak Hiraukan Rekod, Mahu Piala Saja

Walaupun kini Liverpool sudah memecahkan rekod dengan menjadi satu-satunya pasukan yang telah menewaskan kesemua 19 kelab Premier League dalam satu musim dan mampu untuk menjadi juara tanpa sebarang kekalahan, namun itu bukanlah perkara yang menjadi kegusaran mereka.

Bagi pemain tengahnya, Alex Oxlade-Chamberlain, mereka kini hanya fokuskan untuk mematerikan gelaran sebagai juara terlebih dahulu berbanding memecahkan mana-mana rekod.

Menurut lamanrasmi Liverpool, Oxlade-Chamberlain mengatakan masih banyak perlawanan sukar untuk diharungi dan mereka perlu fokus.

“Kami mahu teruskan apa yang kami lakukan, dan jika kami berjaya dapat pecahkan rekod maka ianya adalah bonus buat kami. Tetapi buat masa sekarang ianya bukanlah masa sesuai untuk fikir mengenai itu.”

“Kami masih lagi ada banyak perlawanan sukar yang perlu dihadapi dan perlu teruskan apa yang kami sedang lakukan dan capai apa matlamat utama kami dalam liga iaitu menamatkan saingan setinggi boleh, dan kami berada dalam posisi tersebut.”

Tambah Oxlade-Chamberlain lagi, Liverpool masih lagi perlu meningkatkan prestasi mereka dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.

“Kami sentiasa menjerit kepada satu sama lain di setiap perlawanan dan tidak pernah berpuas hati. Tetapi selepas berjaya mendapatkan gol kedua (menentang West Ham United), kami berjaya mengawal hampir keseluruhan perlawanan.”

Oxlade-Chamberlain menjadi salah seorang penjaring dalam kemenangan Liverpool ke atas West Ham United di London Stadium semalam.

Salah satu lagi gol disumbangkan oleh Mohamed Salah menerusi sepakan penalti.

Liverpool kini 19 mata mendahului Manchester City yang tidak beraksi dalam perlawanan liga semalam kerana menentang Manchester United dalam Carabao Cup.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram