Ong Kim Swee Tidak Mahu Menjadikan Cuaca Sejuk Sebagai Alasan

Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun enggan menjadikan cuaca sejuk sebagai penghalang bagi menghadapi Iraq dalam perlawanan pertama kejohanan AFC B23 di Stadium Changshu hari rabu ini.

Walaupun persiapan skuad negara sedikit terjejas apabila perlawanan persahabatan menentang skuad B-23 Syria terpaksa dibatalkan ekoran salji tebal di Nanjing, pengendali skuad bawah 23 negara, Datuk Ong Kim Swee tidak menjadikan kegagalan menentang Syria jejas fokus anak buahnya.

“Cuaca seperti biasa di mana kita telah melalui proses ini daripada (perlawanan persahabatan) di Korea Selatan lagi dan saya tidak berminat untuk menekankan tentang cuaca. Apa yang le­bih penting kita perlu fokus kepada corak latihan dan taktikal permainan kita.

“Walaupun kita tidak dapat bermain dengan Syria, namun kita mempunyai maklumat-maklumat tentang Iraq, Jordan mahupun Arab Saudi.

“Kita harus melalui satu demi satu perlawanan terutama (bermula) dengan Iraq dan mereka merupakan pasukan pilihan. Pada masa sama, kita perlu memikirkan corak permainan kita yang lebih pen­ting daripada terlalu memikirkan kekuatan mereka.

“Kita datang ke sini (China) bukan memberikan kelebihan. Kita datang untuk memberikan saingan dan saya harap saingan itu akan bertukar menjadi satu keputusan yang akan memihak kepada kita.

“Kita tahu itu (persaingan Kumpulan C) amat mencabar tetapi saya percaya pemain-pemain akan melakukan sesuatu,” katanya kepada kosmo ketika ditemui di padang latihan Haikamu, Changshu semalam.

Ong Kim Swee mengendalikan sesi latihan skuad bawah 23 tahun negara. FOTO: FAM

Kim Swee juga enggan menjadikan faktor cuaca sejuk sebagai alasan buat anak-anak buahnya tidak menunjukkan aksi terbaik dalam kejohanan itu.

“Saya rasa bukan kita sahaja, tetapi pasukan-pasukan lain turut terasa tempiasnya terutama keadaan cuaca yang begitu sejuk,” katanya.

Skuad muda negara diundi dalam Kumpulan C bersama tiga negara dari asia barat iaitu Iraq, Jordan dan Arab Saudi. Mereka dijadualkan menentang Iraq pada 10 Januari sebelum bertemu Jordan pada 13 Januari dan Arab Saudi pada 16 Januari 2018.

Jadual perlawanan AFC B23 yang melibatkan pasukan Malaysia.

Bulan lepas, mereka mengadakan latihan pusat fasa kedua dan mengharungi tiga perlawanan persahabatan di Korea Selatan dan meraih kemenangan 1-0 ke atas Honam University dan me­raih keputusan seri 1-1 ketika menentang Mokpo FC dan Jeonju Citizen.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply