Ong Kim Swee Nilai Kemampuan Pemain Menentang PJ Rangers

Skuad Malaysia bawah 23 tahun akan mengaturkan perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Liga FAM, Pj Rangers pada hari sabtu ini untuk mencari barisan terbaik sebelum dibawa ke latihan pusat fasa kedua di Mokpo, Korea Selatan.

Justeru itu, ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan persahabatan itu bagi memastikan tempat dalam kejohanan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China pada januari depan.

Beliau akan menilai beberapa perkara bagi mengenal pasti kemampuan barisan pemain untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.

“Mereka harus ambil kesempatan ini untuk membuktikan sama ada mereka mampu bersama pasukan dengan corak yang saya inginkan.

“Saya akan menilai mereka dalam perlawanan menentang PJ Rangers sebelum memutuskan siapa yang akan dibawa ke Korea Selatan selepas menentang Melaka United pada 14 Disember ini,” katanya kepada para wartawan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Skuad B-23 kebangsaan akan terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember untuk kem latihan pusat selama 14 hari sehingga 30 Disember dan kemudian terbang ke Nanjing, China untuk kem latihan pusat terakhir selama lapan hari sehingga 6 Januari.

INFOGRAFIK : Datuk Ong Kim Swee telah memilih 30 pemain terbaik yang bakal membawa cabaran negara di kejohanan AFC Bawah 23 Tahun pada januari depan.

Ketika ditanya tentang kemungkinan risiko akan berlaku kecederaan ketika perlawanan persahabatan, Kim Swee berkata, kecederaan berlaku di mana-mana.

“Kita tidak boleh katakan kecederaan berlaku kalau main perlawanan persahabatan. Saya tidak nampak itu perkara yang merisaukan, yang penting saya mahu lihat keseluruhan pemain dalam perlawanan persahabatan itu..di situ saya akan menilainya.

“Ini adalah satu impak positif untuk saya bawa ke minggu kedua dengan lebih intensiti. Saya harap mereka lebih baik sebelum melalui fasa ketiga,” katanya.

Sementara itu, penyerang pasukan Kedah, Syafiq Ahmad masih belum lapor diri menyertai kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya yang bermula Isnin lalu.

Syafiq adalah antara 30 pemain yang telah dipilih ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dalam persiapan menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung di Jiangsu, China dari 9 hingga 27 Januari 2018.

“Setakat ini Syafiq masih belum melaporkan diri dan saya masih menunggu maklum balas daripada dia tentang situasi terbabit.

“Saya difahamkan dia (Syafiq) melangsungkan perkahwinan semalam. Dia sepatutnya hubungi kita tentang kehadirannya,” katanya.

Sesi latihan kecergasan pemain di wisma FAM minggu lepas. (Gambar: FAM)

Pengendali berusia 46 tahun itu berkata, beliau masih belum memikirkan tindakan berhubung situasi terbabit.

Katanya, jika cuti berpanjangan, pastinya pemain lain telah berlatih lebih masa dan untuk membawa Syafiq kembali dalam masa singkat kemungkinan agak sukar bagi mengembalikan kecergasannya.

“Namun, itu terpulang situasinya nanti. Saya akan bincang dengan pihak pengurusan sebelum memutuskan apa tindakan selanjutnya.

“Kalau ikut jadual, dia harus lapor secepat mungkin, jika gagal laporkan diri, kita akan buat keputusan dalam masa terdekat,” katanya kepada sinar harian.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram