Nostalgia Piala Malaysia 1986: Perlawanan Akhir Terakhir Legenda Mokhtar Dahari

Piala Malaysia. Sekiranya ada peribahasa yang bersesuaian untuk menggambarkan prestij pertandingan bola sepak antara yang tertua di benua Asia ini, maka kita boleh ungkapkan ia sebagai: ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Mulai dipertandingkan sejak 1921, pada ketika itu dikenali sebagai Piala Malaya sebelum dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya pada 1933, pertandingan bola sepak teragung negara ini pernah dihentikan seketika akibat meletusnya Perang Dunia Ke-2 pada 1942.

Perubahan landskap politik selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 (secara rasmi), sekali lagi mengubah nama pertandingan ini kepada Piala Malaysia mulai 1967 sehinggalah ke era moden pada hari ini.

Untuk rekod, Selangor adalah pasukan bola sepak yang paling berjaya dalam pertandingan Piala Malaysia dengan 33 gelaran. Hanya Singapura (24), diikuti dengan Perak (7), dan juga finalis pada tahun ini Kedah (5) memiliki koleksi kejuaraan terhampir.

Selangor FA- The Red Giants
Persatuan Bola Sepak Selangor (Selangor FA) adalah pasukan yang paling berjaya dalam pertandingan ini. Rekod kejuaraan Piala Malaysia yang dimiliki oleh Selangor FA di dalam pertandingan ini ialah 33 kali.

Ini termasuklah kejuaraan yang dikongsi dengan Singapura sebagai juara bersama pada edisi 1928 dan juga 1929. Kali terakhir Selangor bergelar juara Piala Malaysia ialah pada musim 2015.

Juara Piala Malaysia 2015, Selangor.

Skuad Selangor yang lebih dikenali dengan jolokan ‘Red Giants’ menewaskan Kedah FA dengan jaringan 2-0, hasil haringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-4 dan ke-48 perlawanan di Stadium Shah Alam.

Berbicara mengenai trivia dan nostalgia Piala Malaysia, ingatan penyokong Selangor dan pengikut bola sepak tanah air amnya pasti akan mengimbau kembali perlawanan akhir Piala Malaysia 1986, juga merupakan perlawanan akhir Piala Malaysia terakhir Allahyarham Mohd Mokhtar bin Dahari atau lebih dikenali dengan panggilan ‘SuperMokh’

Figura terhebat Piala Malaysia: ‘SuperMokh’

Mohd Mokhtar bin Dahari adalah nama sebenarnya. Dilahirkan pada 13 November 1953, Mokhtar Dahari dilahirkan di Setapak, Selangor (kini Kuala Lumpur).

Bersama skuad utama Selangor, Mokhtar Dahari merupakan pemenang kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 11 kali- terbanyak pernah dimenangi oleh seorang pemain dalam sejarah pertandingan tersebut.

Piala Malaysia 1986 mempunyai nilai sentimental tersendiri buat penyokong pasukan bola sepak Selangor, kerana ia adalah penampilan terakhir ‘SuperMokh’ di peringkat perlawanan akhir pertandingan tersebut.

Piala Malaysia 1986

Pada 1986, format pertandingan Piala Malaysia adalah jauh berbeza dengan apa yang kita ada pada hari ini. Tiada pertandingan peringkat kumpulan diadakan, sebaliknya pusingan awal diadakan secara liga membabitkan 16 pasukan.

Setiap pasukan akan bermain secara timbal balik, dan 8 pasukan teratas di dalam liga akan layak ke peringkat suku akhir.

Utuk Piala Malaysia 1986, kesemua persatuan bola sepak negeri menghantar pasukan masing-masing kecuali Sabah. Brunei, Singapura dan juga ATM adalah 3 lagi pasukan yang melengkapkan 16 pasukan yang mengambil bahagian.

Selepas selesai 15 perlawanan diadakan, Kuala Lumpur yang dibimbing oleh Josef Venglos daripada Slovakia menjuarai liga berkenaan. Ini diikuti oleh Singapura, Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Kedah dan Kelantan, melengkapkan 8 pasukan yang berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Info di atas adalah keputusan saingan peringkat suku akhir Piala Malaysia 1986 yang dilalui oleh kesemua 8 pasukan yang bertanding.

Selangor diundi bertemu dengan Kelantan di peringkat suku akhir sebelum mara dengan agregat 4-2.

Di peringkat separuh akhir, Selangor dipertemukan dengan seteru utama mereka sejak wujudnya pertandingan Piala Malaysia, Singapura.

Skuad Johor 1985. Kredit: http://chedinsphere.blogspot.my

Separuh akhir pertama yang berlangsung di halaman sendiri, Selangor gah menundukkan pasukan Kota Singa itu dengan jaringan 2-0. Di Singapura, SuperMokh dan rakan-rakan rakus membelasah Singapura dengan haringan 5-1 untuk mara ke final dengan agregat 7-1.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1986, yang diadakan pada 3 Mei mempertemukan Selangor dan Johor  yang tampil sebagai juara bertahan Piala Malaysia pada ketika itu selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0 dalam perlawanan akhir 1985.

Johor turut memiliki barisan pemain tempatan hebat di era itu seperti Ismail Ibrahim, Khalid Shahdan, Nasir Yusof dan juga bintang sedang meningkat naik, Dollah Salleh pada era itu.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1986

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1986 berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Di era itu, venue berkenaan merupakan gelanggang utama untuk perlawanan akhir dan kandang kepada skuad Harimau Malaya.

Stadium yang memiliki nilai sejarah tersendiri kepada negara ini berkapasiti 20,000 penonton pada era itu.

Antara penyokong Johor yang hadir. Kredit: Pemilik gambar.

Sejak daripada awal, kedua-dua kumpulan penyokong mulai bersesak untuk membanjiri tempat duduk di stadium bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menyaksikan acara bola sepak terbesar di dalam negara pada ketika itu.

Selangor tampil berjersi kuning dan Johor dengan seragam putih-biru.

Kredit: http://chedinsphere.blogspot.my

Pengadil pada malam itu ialah Osman Omar daripada Melaka. Wisel sepak mula ditiupkan, dan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Separuh masa pertama

SuperMokh beraksi lincah untuk Selangor dalam percubaan awal untuk menguasai dan mendapatkan rentak perlawanan buat Selangor. Beliau nekad untuk melakukan sedaya upaya untuk memastikan Selangor tidak berputih mata.

Bagaimanapun Selangor dikejutkan oleh gol awal pasukan Johor seawal minit ke-4 perlawanan. Johor yang memperolehi sepakan percuma dari sebelah kanan, tidak mensia-siakan peluang pertama mereka pada malam itu.

Dollah Salleh yang berusia 23 tahun pada ketika itu tidak dikawal, melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang hasil sepakan percuma tersebut, untuk gol pendahuluan Johor pada malam tersebut.

Mokhtar Dahari dan rakan sepasukan yang lain tidak berputus asa dengan serangan bertali arus untuk memburu gol penyamaan.

Gol kedua Selangor oleh Azhar Shariff. Kredit: http://chedinsphere.blogspot.my

Minit ke-36 perlawanan, ‘first timer’ cantik menghasilkan sepakan voli yang cukup padu dari luar kotak penalti oleh Razali Alias, menewaskan Salleh Mohamed Nor yang berada agak terkeluar dari posisi selepas berusaha menumbuk bola keluar sebelum itu.

Selangor tidak menoleh ke belakang lagi. Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, Azhar Shariff menanduk masuk sepakan penjuru untuk memastikan Selangor mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua

Selangor terus garang pada separuh masa kedua. Kali ini giliran pemain sayap, Khan Hung Meng memberikan pendahuluan 3-1 buat gergasi Lembah Klang itu apabila merembat menewaskan penjaga gol Johor selepas larian deras dari sebelah kiri serangan Selangor.

Johor turut cuba merapatkan kedudukan melalui beberapa percubaan khususnya Khalid Shahdan, namun benteng Selangor kekal utuh sepanjang 90 minit perlawanan.

Selangor meraikan gol Zainal Abidin Hassan. Kredit: http://chedinsphere.blogspot.my

Sebaliknya, Zainal Abidin Hassan menambah sengsara Johor dengan jaringan ke-4 Selangor pada minit ke-57 perlawanan, diikuti dengan sepakan mengelirukan oleh Ristomoyo Kassim pada minit ke-74 perlawanan untuk kedudukan semasa Johor 1-5 Selangor.

Azhar Shariff melengkapkan kemenangan bergaya Selangor pada malam itu dengan satu penyudah yang cukup klinikal pada minit ke-77 perlawanan untuk melengkapkan kemenangan 6-1.

Nostalgia Piala Malaysia 86′

Mokhtar Dahari mungkin tidak menjaringkan gol dalam perlawanan akhir ini. Tetapi aksi cemerlang SuperMokh dalam perlawanan ini tidak boleh dinafikan.

Malah sepanjang perlawanan, rakan-rakan sepasukan yang lain dikatakan berusaha untuk menghantar bola kepada Mokhtar Dahari untuk menjaringkan gol, namun gagal berbuat demikian.

Kredit: Chedinsphere.blogspot.my

Walaupun sedikit terkilan, apa yang paling penting buat legenda bola sepak tanah air itu adalah kemenangan buat Selangor, berbanding dengan pencapaian peribadi.

“Saya berlari, mengejar dan mencurahkan segala-galanya dan akhirnya menjulang Piala Malaysia. Tetapi saya merasa sedih kerana gagal menjaringkan gol dalam perlawanan akhir itu,” ujar SuperMokh selepas perlawanan tersebut.

Mokhtar Dahari turut mengumumkan pengundurannya daripada pasukan Selangor selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 1986 itu.

Jersi SupeMokh yang dihadiahkan kepada Raja Muda Selangor pada ketika itu. Kredit: http://chedinsphere.blogspot.my

“Saya akan merindui saat-saat ini. Suasana perlawanan akhir Piala Malaysia. Kemanisan sewaktu meraikan kejayaan; seterusnya menaiki ‘Royal Box’ untuk menerima pingat.”

“16 tahun di Piala Malaysia, 11 kali menjadi juara dan dan 2 kali naib juara. Alangkah bagusnya jika saya dapat menambah rekod Piala Malaysia saya ini,” tambah SuperMokh lagi.

Rumusan

Legenda SuperMokh mungkin sudah tiada lagi bersama kita. Perginya Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari 26 tahun yang lalu pasti satu kehilangan besar buat bola sepak tanah air.

Namun kisah kehebatan dan semangat Allahyarham di dalam pertandingan Piala Malaysia adalah satu inspirasi kepada kita pada hari ini. Bahawasanya kesungguhan dan kegigihan adalah formula terbaik jika ingin mencapai kejayaan.

SuperMokh adalah ikon Piala Malaysia. Dan Perlawanan akhir Piala Malaysia 1986, akan sentiasa dikenang sebagai penampilan terakhir Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari di dalam perlawanan akhir pertandingan ini.

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN