Nostalgia: Aksi Khairul Azman Curi Tumpuan Jurulatih Futsal Uruguay

Khairul Azman

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, skuad futsal negara pernah melayakkan diri ke Piala Dunia Futsal 1996 di Sepanyol dan Khairul Azman Mohamed adalah salah seorang daripada anggota pasukan tersebut.

Legenda kelahiran Kuantan, Pahang itu ditugaskan sebagai pilihan utama mengawal gawang skuad negara manakala Mudzar Mohamad pula bertindak sebagai penjaga gol kedua.

Khairul diturunkan pada dua perlawanan awal yang menyaksikan beliau dibolosi 14 gol setelah Malaysia tunduk 1-10 ditangan Itali manakala 1-4 ketika bertemu Uruguay.

Ketepikan soal jaringan yang dibolosi itu kerana aksi yang dipamerkan Khairul Azman telah mendapat pujian daripada jurulatih Uruguay, Rolando Muniz Fortes

Mengimbau kembali laporan akhbar tempatan ditulis Ahmad Khawari Isa, Rolando Muniz nyata tertarik melihat ketangkasan yang dipamerkan oleh bekas pemain yang kini berusia 52 tahun itu.

”Memang kami tidak begitu memburu banyak gol ketika kemenangan sudah memadai. Tetapi apabila dihadiahkan begitu banyak kesempatan, sudah pasti kami tidak mahu untuk mensesiakannya.”

”Cuma bezanya, penjaga gol Malaysia [Khairul Azman] hebat menghalang dan menggagalkan banyak ancaman kami. Jika tidak, sudah pasti kami mampu menang sekurang-kurangnya dengan 10 gol.” ujar Rolando Muniz.

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad futsal negara ketika saingan di Segovia itu, Victor Hermans mengakui Khairul Azman mampu untuk beraksi di luar negara dalam sukan futsal.

”Memang sejak awal lagi. saya sudah nampak betapa Khairul memang sesuai untuk lima sepasukan [futsal]. Saya juga pasti dia punyai kemampuan hebat dalam 11 berpasukan [bola sepak].”

”Khairul memang mampu berusaha mendapat tempat dalam liga lima sepasukan di negara seperti Belanda mahupun Belgium, jika dia mahu,” ujar Hermans lagi.

Begitulah kehebatan Khairul Azman yang bukan sahaja tangkas ketika di padang tetapi sebagai penjaga gol futsal juga beliau membuktikan karisma tinggi dimilikinya.

Kredit Foto: Kiriman peribadi Khairul Azman Mohamed

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply