Norshahrul Idlan, Lazarus Kaimbi Antara Korban Perubahan Drastik Pahang

Norshahrul Idlan Lazarus Kaimbi Pahang

Menurut laporan Berita Harian, yang memetik sumber dalaman, Pahang melepaskan beberapa pemain utama musim lalu bagi membentuk skuad yang lebih mampan untuk musim 2020.

Antara yang menjadi tumpuan adalah tiada lagi kelibat penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, yang sudah dua tahun menabur bakti bersama skuad Tok Gajah itu, sejak 2018.

Bersama Pahang, Norshahrul Idlan pernah menjulang kejuaraan Piala FA 2018, menewaskan Selangor 2-0 di pentas final. Namun, pada musim 2019, impak permainannya sudah kian berkurangan.

Mungkin atas faktor usia, penyerang berusia 33 tahun itu tidak lagi mampu menghadirkan permainan dan impak seperti dahulu serta telah memaksa pengurusan pasukan untuk melepaskannya.

Menurut sumber itu lagi, beberapa pemain turut tidak disambung kontrak antaranya Remezey Che Ros, Zubir, Azmi, R Kogileswaran, A Salomon Raj, Afif Amiruddin dan Wafieyuddin Shamsudin.

“Pahang kini dalam proses pembentukan pasukan termasuk berusaha menyenaraikan pemain baru untuk memberi saingan kepada lawan,” jelasnya mengenai persediaan Tok Gajah.

“Segalanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat termasuk pemain import selepas tiga daripada lima import tidak lagi bersama Pahang musim depan,” tambahnya lagi.

Antara pemain import yang sudah tidak lagi bersama pasukan ketika ini adalah Safuwan Baharudin dari Singapura, Saddil Ramdani (Indonesia) dan Lazarus Kaimbi (Namibia). Dan, status Dickson Nwakaeme serta Herold Goulon menjadi tanda tanya.

Adakah dengan pelepasan gandingan serasinya, Dickson Nwakaeme juga bakal dilepaskan? Adakah Herold Goulon turut menjadi korban perubahan drastik oleh pengurusan pasukan?

Laman sosial Pahang juga dilihat kurang aktif mengemaskini status pemain walaupun dilihat sudah memulakan sesi latihan pra-musim sejak seminggu yang lalu. Hanya seorang kelibat pemain baharu dilihat berlatih bersama pasukan iaitu Sharbinee Allawee.

Musim 2019, Pahang menamatkan liga di kedudukan kedua, 10 mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), semifinalis Piala FA – tewas kepada Perak dan juga Piala Malaysia – tewas kepada Kedah.

Jika dilihatkan, tiada masalah besar dalam skuad kendalian Dollah Salleh melainkan hanya tiada trofi. Jangkaan penyokong, mungkin perubahan kecil akan dilakukan untuk mengukuhkan pasukan. Sebaliknya berlaku, perkhabaran ini pasti meresahkan mereka.

Kredit Featured Image: Muhd Asyraf Sawal / Berita Harian

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply