Norshahrul Idam Julang Sekurang-Kurangnya 1 Piala Musim Ini Di Thailand

Norshahrul Idlan Talaha sah menyertai pasukan BG Pathum United yang bermain di Liga 1 Thailand.

Beliau sudah pun diperkenalkan secara rasmi kepada media sebagai pemain baharu kelab tersebut.

BGPU ternyata mengalu-alukan kedatangan Norshahrul Idlan Talaha ke dalam pasukan mereka.

Norshahrul Idlan Talaha merupakan pemain yang beraksi di posisi serangan. Pada usianya 33 tahun, Mat Yo masih lagi bermain di peringkat tertinggi.

Beliau masih menjadi antara pemain yang kerap mendapat panggilan kebangsaan oleh Tan Cheng Hoe.

Mat Yo turut diberikan jersi no.99 oleh BG Pathum United bagi menghadapi musim sulung beliau bersama pasukan tersebut di Thailand.

Bercakap kepada wartawan tentang perasaan beliau, Norshahrul jelas sekali bangga dengan apa yang beliau lakukan.

Kerana menurutnya, inilah kali pertama beliau beraksi di luar negara kelahirannya di peringkat kelab.

Norshahrul berkata: “Saya sangat gembira dan saya sangat berbangga dengan diri saya. Kerana inilah pertama kalinya saya keluar dari negara saya Malaysia.”

“Dan saya sangat teruja untuk bermain di liga kompetitif, Liga 1 Thailand. Bagi saya, saya berharap kita akan mendapat sekurang-kurangnya 1 piala pada musim ini.”

“Kepada semua penyokong BGPU, saya berharap anda semua akan dapat memberikan sokongan kepada saya, dari awal musim sehingga tamat musim liga, dan saya berharap akan dapat mencapai sesuatu di sini.

Norshahrul Idlan Talaha musim lalu bermain untuk pasukan Pahang. Dan beliau dan Pahang gagal mencapai kesepakatan untuk kontrak baharu.

Norshahrul Idlan Talaha akhirnya memutuskan untuk berkelana ke Thailand. Beliau dikaitkan dengan beberapa pasukan di Malaysia, sama ada Liga Super ataupun Liga Premier.

Selamat maju jaya kepada Mat Yo di perantauan!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram