Norhafiz Zamani Misbah Kongsi Tips Kekal Cergas Untuk Beraksi Di Liga M

Kerjasama Semuanya BOLA

norhafiz zamani misbah negeri sembilan 2019

Bermula karier bola sepak di Negeri Sembilan, pertahanan tengah, Norhafiz Zamani Misbah atau lebih dikenali dengan panggilan ‘angah’ di kalangan rakan-rakan itu mahu menamatkan kariernya juga di Negeri Sembilan, mungkin dalam beberapa tahun lagi.

Bercakap kepada wartawan Astro Arena, Akbar Sahari, pemain berusia 38 tahun itu menjelaskan jika kesihatannya mengizinkan, beliau mahu bermain bola sepak untuk beberapa musim lagi.

Rakan-rakan seangkatannya yang masih beraksi lagi adalah seperti Shukor Adan, Amri Yahyah dan Indra Putra. Ini menjadikan mereka antara ‘kuda tua’ dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

“Kalau boleh saya mahu akhiri karier saya di Negeri Sembilan,” jelasnya sambil menyatakan mahu meraih sesuatu bersama pasukan sebelum bercadang menggantungkan butnya.

“Sebelum saya bersara, kalau boleh saya mahu satu pencapaian bersama Negeri Sembilan, satu kenangan manis. Sekurang-kurangnya bawa pasukan ke Liga Super atau menang piala.

“Seperti yang disasarkan oleh pihak pengurusan, [sasaran adalah] untuk kedudukan dua terbaik Liga Premier. Kita sahut cabaran tersebut dan cuba merealisasikan impian itu,” tambahnya lagi.

Ketika ditanyakan rahsianya kekal cergas dan masih lagi boleh beraksi di saingan Liga Malaysia, Norhafiz Zamani menjelaskan sebagai pemain, penjagaan diri dan makanan adalah penting.

“Pertama sekali kita perlu berterima kasih kepada Allah kerana masih diberikan kesihatan. Apa yang saya terapkan, kita kena disiplinkan diri, jaga makan dan minum serta rehat yang cukup,” kongsinya mengenai tips kekal cergas sehingga usianya kini.

“Tengoklah kalau diberikan kesihatan,” ujarnya ketika ditanyakan adakah akan beraksi beberapa musim lagi sebelum bersara.

Selepas beraksi di usia muda bersama Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani telah berkelana ke beberapa pasukan seperti Pahang, KL Plus FC, Kelantan dan terakhir bersama Pulau Pinang pada 2018.

Dalam penghijrahan itu, bekas pertahanan kental skuad negara ada kembali ke Negeri Sembilan untuk beberapa musim ketika skuad Jang sedang bersaing di Liga Super musim 2011 hingga 2013.

“Negeri Sembilan antara pasukan yang baik dari segi kebajikan pemain dan sebab ia adalah kampung halaman saya,” ujarnya mengenai mengapa masih kekal bersama pasukan musim depan.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply