Nicky Butt: “Saya Tahu Dia Jutawan Sekarang, Tetapi Pencapaiannya Sangat Mengecewakan”

Kerjasama Semuanya BOLA

Masih ingat tak anda semua dengan Adnan Januzaj? Satu nama yang pernah dijulang sebagai bakal menjadi Cristiano Ronaldo baharu di Manchester United.

Namun pada hari ini, mungkin ramai di kalangan anda tidak tahu di mana beliau bermain sekarang?

Bercakap tentang soal pembangunan pemain muda, Ketua Pembangunan pasukan utama Manchester United – Nicky Butt -menganggap Adnan Januzaj sebagai perkara yang paling mengecewakan pernah berlaku di Manchester United.

Ketika remaja, Adnan Januzaj meningkat naik dengan sangat cepat. Beliau dinaikkan pangkat ke pasukan utama dengan segera oleh Sir Alex Ferguson.

Dan pada perlawanan terakhir Sir Alex Ferguson, nama Adnan Januzaj disenarai sebagai pemain simpanan. Namun beliau tidak digunakan ketika itu. Apa yang pasti itu adalah isyarat pemain itu sudah sedia didaftarkan untuk musim seterusnya.

Nicky Butt menganggap, beliau tidak pernah melihat pemain yang sangat berbakat seperti Januzaj selepas Ryan Giggs satu ketika dahulu.

Manchester United mulai meramalkan Adnan Januzaj akan menjadi bintang perdana dalam dunia bola sepak.

Pada era David Moyes, nama Adnan Januzaj meningkat naik dengan cepat. Beliau diberikan debut.

Dalam aksi menentang Sunderland, Januzaj menjaringkan 2 gol untuk membantu Man United menang 2-1.

Tetapi peralihan pegurusan ke tangan Louis Van Gaal membuatkan Adnan Januzaj hilang tempat dalam pasukan utama. Januzaj dipinjamkan ke Borussia Dortmund. Dan di sana beliau masih gagal mencapai potensi optimum.

Akhirnya Januzaj menyertai semula pasukan Moyes, kali ini di Sunderland. Masih juga beliau gagal mendapatkan status elit yang dijangka oleh barisan pembangunan bakat Manchester United.

Nicky Butt berkata: “Bagi saya, kekecewaaan terbesar dalam kelab ini adalah Adnan Januzaj. Saya tidak pernah melihat seorang pemain muda yang sangat berbakat seperti beliau, selepas Ryan Giggs.”

“Pada usia yang sangat muda Januzaj bermain di tahap tertinggi dan kami sangat yakin beliau akan menikmati karier yang hebat. Kami jangkakan beliau pada hari ini sepatutnya sudah menjadi superstar dalam arena bola sepak.”

“Saya tahu beliau sudah menjadi jutawan sekarang kerana bola sepak. Dan tidak perlu risau pergi ke katil sambil memikirkan soal [duit tak cukup] nak membayar bil. Tetapi, beliau sepatutnya sudah menjadi bintang nama besar dalam bola sepak pada hari ini.”

Pada hari ini Manchester United turut memiliki bakat seperti Januzaj iaitu Mason Greenwood. Sudah pastinya United perlu belajar daripada apa yang pernah berlaku kepada Januzaj agar pemain tersebut dapat mencapai potensi seperti yang mereka ramalkan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram