N’golo Kante: 4 Sebab Mengapa Chelsea Belinya Meskipun Sudah Ada Matic & Mikel

Baru-baru ini, Chelsea mengesahkan pembelian N’golo Kante – pemain defensif tengah yang menawan hati peminat Premier League pada musim lepas kerana kerajinan dan skil defensifnya – dengan harga hanya £30 juta sahaja dari juara liga musim lepas, Leicester City.

Jarang-jarang pemain penting dari pasukan juara liga mahu menyertai pasukan yang menamatkan kempen liga musim lepas di tangga ke-10. Tetapi itulah keistimewaan Chelsea dan pengurusnya, Antonio Conte.

10 tahun lepas, peminat bola sepak mungkin boleh ‘mencemburui’ kebolehan Chelsea menarik pemain bagus dengan kuasa wang yang dimiliki pemilik kelab, Roman Abramovich.

Tetapi tidak kali ini.

Kante dikatakan menolak tawaran lebih lumayan dari kelab China, Shanghai SIPG.

Dengan kuasa wang yang dimiliki kelab-kelab besar China ketika ini, mereka tak mempunyai masalah untuk menawarkan gaji lebih lumayan daripada £100,000 seminggu yang ditawarkan oleh Chelsea.

Ini meyakinkan kami bahawa prestij Premier League, Chelsea dan karisma Conte sebenarnya yang menarik minat Kante menyertai kelab London barat ini.

download

Berikutan perpindahan ini, kami ingin menilai apa sumbangan yang boleh diharapkan penyokong Chelsea daripada Kante.

Peranan dan posisi utama

Dikenali sebagai pemain tengah defensif yang rajin dan bertenaga, Kante turut dikenali sebagai salah satu unit tengah Leicester City bersama Danny Drinkwater ketika menjuarai Premier League pada musim 2015/2016.

Kerap dibandingkan dengan satu lagi lagenda pemain tengah defensif Chelsea, Claude Makelele, Kante sebenarnya ada tambahan kualiti ofensif yang jarang dipamerkan oleh Makelele.

Berbeza dengan Makelele yang terkenal dengan tugas anchor man – pemain tengah defensif yang terus menyerahkan bola melalui hantaran pendek ke pemain lebih kreatif selepas mematahkan serangan, Kante lebih lengkap dari segi kualiti ofensif.

Di Leicester, beliau kerap mematahkan serangan pasukan lawan sebelum melancarkan sendiri serangan balas sama ada melalui larian bertenaga (forward charging run) atau hantaran-hantaran cantik (key passes) kepada pemain-pemain kreatif Leicester.

Adakah Kante pembelian yang perlu?

Kualiti yang dimiliki oleh Kante ini membawa kepada persoalan seterusnya – adakah pembelian Kante satu keperluan (necessity) atau hanya satu kemewahan (luxury)?

Ini kerana di Chelsea sendiri, mereka sudah ada Nemanja Matic dan Jon Obi Mikel sebagai pemain defensif tengah.

Bagi kami, pembelian Kante adalah satu keperluan. Falsafah bola sepak Conte amat-amat memerlukan pemain mobil seperti Kante.

Selepas kemerosotan prestasi Michael Essien, Chelsea kemarau pemain tengah defensif yang rajin, berstamina tinggi, mobil, tinggi skil defensifnya dan tiada masalah membantu serangan.

Nemanja Matic adalah pemain yang menepati ciri-ciri ini.

Tetapi dengan kepadatan jadual bola sepak Inggeris, ditambah pula dengan falsafah bola sepak Conte yang sentiasa mahukan pemainnya berlari lebih daripada pihak lawan, adalah sesuatu yang bodoh jika Conte tidak mencari seorang lagi pemain yang mempunyai kualiti sama untuk menggantikan Matic jika beliau tercedera.

Bercakap mengenai Mikel pula, walaupun beliau masih merupakan pemain tengah defensif yang baik, mobiliti beliau – kelajuan, kelincahan dan gerakan tanpa bola – beliau merupakan kelemahannya paling ketara.

Jadi dengan adanya Kante dan Matic, Chelsea sudah pun memiliki 2 pemain tengah defensif yang bertaraf dunia.

Jika kita mengambil kira mutiara kata bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho yang berkata “sebuah pasukan juara memerlukan 2 pemain bertaraf dunia di setiap posisi”, Chelsea berada dalam landasan baik untuk mencabar kejuaraan liga dengan adanya Kante dan Matic.

Bagaimana dengan Matic?

Jika Conte mengambil keputusan untuk menggunakan sistem double pivot (contohnya 4-2-3-1, 4-4-2), Matic dan Kante perlu bersaing sesama sendiri untuk merebut satu slot pemain defensif tengah dalam sistem ini.

Kedua-dua mereka hanya boleh diturunkan bersama dalam sistem double pivot hanya jika Cesc Fabregas cedera atau mengalami penurunan prestasi.

Tetapi jika Conte menggunakan sistem single pivot (contohnya 4-3-3, 4-4-2 diamond, 3-5-2), Matic dan Kante boleh diturunkan bersama Fabregas.

Dalam sistem single pivot, Matic mungkin akan kembali bermain sebagai pemain tengah box-to-box. Kante pula bakal diarahkan fokus kepada aspek pertahanan pasukan sahaja dari tengah.

Jika dilihat kepada kualiti-kualiti yang Conte ada pada Kante, Matic dan Fabregas, kami cenderung untuk berspekulasi bahawa Conte akan memilih sistem single pivot sebagai template taktikalnya di Chelsea.

Statistik Kante vs Matic

Bagaimanapun jika Conte memilih sistem double pivot, kami masih merasakan Kante bakal mengatasi Matic untuk merebut satu slot di tengah.

Berikut adalah sebabnya.

1. Kadar bentesan Kante lebih banyak

Kante merekodkan kadar bentesan 3.72 untuk setiap perlawanan, manakala Matic cuma melakukan 2.34 sahaja untuk setiap perlawanan.

2. Kante lebih cekap membaca hantaran pihak lawan

Dari segi pintasan hantaran (interceptions) pula, Kante melakukan purata 4.64 pintasan hantaran setiap perlawanan berbanding Matic dengan cuma 2.49 sahaja.

3. Kante lebih kreatif

Dari segi kreativiti, Kante masih lebih baik dengan kadar 0.89 peluang dicipta untuk setiap perlawanan. Matic pula cuma mencipta peluang dengan kadar 0.71 untuk setiap perlawanan.

4. Hantaran Kante lebih kemas

Dari segi ketepatan hantaran, Kante mencatatkan ketepatan 88% mengatasi Matic yang cuma mencatatkan 82%.

Fabregas bakal dapat manfaat daripada kualiti Kante

Dengan kualiti Kante, sudah pastilah ia akan memberikan lebih kebebasan kepada pemain kreatif seperti Fabregas dan Oscar untuk beroperasi di bahagian serangan tanpa perlu mengerah banyak tenaga apabila Chelsea hilang penguasaan bola.

Sebelum ini, Fabregas banyak digunakan di deep area dan membantu di bahagian pertahanan.

Oscar pula banyak turun ke bawah untuk membantu pasukannya bertahan.

Selamat Datang Ke Stamford Bridge!

Berkualiti, berpengalaman dalam Premier League dan dijual pada harga berpatutan, Kante adalah pembelian yang sangat bagus oleh Chelsea.

b4dda9856c19431242ab3e0e03067d4c

Dengan langkah baru dalam karier beliau ini, kami mengharapkan Kante akan meneruskan kecemerlangan beliau di Chelsea.

Baca juga: Claudio Ranieri Beritahu 4 Rahsia Kejayaan Leicester City: Vardy, Kante, Pizza, Penyokong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram