Neymar Sanggup Terima Potongan Gaji €15 Juta Untuk Tinggalkan PSG

Neymar sanggup menerima pemotongan gaji sehingga €15 juta untuk meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG), semata-mata untuk menyertai kembali Barcelona.

Menurut Guillem Balague – wartawan BBC Radio 5 Live – Barcelona telah menyerahkan beberapa tawaran, termasuk bayaran bernilai €100 juta dan Philippe Countinho untuk membenarkan Neymar kembali ke Nou Camp.

Neymar
(Photo by Tim Clayton/Corbis via Getty Images)

Namun bidaan-bidaan tersebut telah ditolak oleh PSG yang mahukan bayaran penuh tanpa pemain untuk membenarkan bintang Brazil itu meninggalkan Parc Des Princess.

“Pemain itu [Neymar] sudah pun sanggup agar gaji beliau diturunkan daripada €38 juta kepada €23 juta setahun,” ujar Balague.

“Ia adalah situasi yang menarik di Barcelona. Mereka tahu mereka perlu bekerja keras untuk mendapatkan [Neymar] kembali.

“Lionel Messi, Gerard Pique dan Luis Suarez mahukan pemain ini kembali. Begitu juga dengan Josep Maria Bartomeu yang masih memiliki mandat dua tahun mentadbir dan meninggalkan legasi beliau.

“Bolehkah anda bayangkan senarai nama pemain dikenang suatu hari nanti bersama dengan Neymar?”

Neymar kini dilaporkan menjalani latihan secara berasingan dari skuad utama PSG. Namun kelab Perancis itu berkata ia adalah sebahagian daripada program untuk kecergasan dan bukan kerana saga perpindahan yang sedang hangat diperkatakan.

Selain Barcelona, Real Madrid turut dikatakan telah melakukan bidaan dengan menawarkan Gareth Bale dan James Rodriguez beserta sejumlah wang. Tawaran tersebut turut ditolak oleh PSG.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram