Neymar Pimpin Langkah Brazil Ke Suku Akhir Dengan Bergaya

Mexico memiliki peluang pertama dalam perlawanan ini seawal minit ke-3 perlawanan. Hantaran lintang Guardado ditumbuk oleh penjaga gol Brazil, Allison terus ke pangkuan Hirving Lozano. Malangnya percubaan pemain sayap itu berjaya dihadang oleh pemain pertahanan, Miranda.

Tiga minit berselang, penjaga gol Mexico pula diuji oleh Brazil apabila percubaan Neymar dari jarak jauh, ditolak keluar oleh Ochoa.

(Photo by Buda Mendes/Getty Images)

Lozano terus menjadi duri dalam daging buat pertahanan Brazil di awal babak pertama perlawanan apabila melakukan satu larian cut-inside pada minit ke-15, sebelum menghantar bola kepada Javier Hernandez, namun tiada penyudah.

Ochoa turut terpaksa keluar dari gawangnya untuk menyelamatkan keadaan pada minit ke-24 untuk menghalang Neymar yang berjaya menewaskan pertahanan Mexico sebelum meluru ke arah gol.

Babak pertama perlawanan memperlihatkan pressing yang dilakukan Mexico menyukarkan Brazil memperagakan corak permainan mereka.

Namun mungkin kerana keletihan, Mexico mengendurkan asakan, dan membenarkan Brazil lebih banyak melakukan serangan.

(Photo credit should read SAEED KHAN/AFP/Getty Images)

Bagaimanapun babak pertama perlawanan berakhir 0-0.

Babak kedua bermula menyaksikan percubaan Gabriel Jesus dihadang oleh pemain pertahanan Mexico, Guardado pada minit ke-48.

Ochoa turut terpaksa bertindak cemerlang beberapa minit selepas itu untuk menyelamatkan percubaan Philipe Coutinho.

Akhirnya gol pertama dalam perlawanan ini hadir, apabila Neymar bijak menolak masu hantaran bola rendah oleh Willian; susulan gerakan yang dimulakan oleh Neymar sendiri dengan satu back heel.

Mexico cuba bertindak balas selepas itu melalui pemain sayap yang baru dibawa masuk pada awal babak kedua, Miguel Layun, namun Allison setakat ini menunjukkan prestasi yang meyakinkan di hadapan gawang Brazil.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu, namun Allison dan Ochoa cemerlang di hadapan gawang masing-masing.

(Photo credit should read FABRICE COFFRINI/AFP/Getty Images)

Mexico kemudiannya terus dihukum dengan gol kedua Brazil, selepas Neymar bijak menemui ruang sebelum melarikan bola ke dalam kotak penalti. Hantaran Neymar kemudian dengan mudah disempurnakan oleh Roberto Firmino.

Enam minit masa tambahan diberikan pengadil, tiada sebarang tambahan jaringan oleh kedua-dua pasukan.

Brazil layak ke suku akhir, menewaskan Mexico 2-0.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram