EKSKLUSIF: ‘Neymar Malaysia’ Yang Berkelana Ke Leicestershire Demi Megejar Cita-Cita

Jika Mohd Farhan Roslan digelar ‘Messi Kedah’, Faiz Nasir pulak digelar ‘Messi Terengganu’. Manakala bekas penyerang Sabah yang kini bersama skuad JDT II, Rozaimi Abdul Rahman turut pernah digelar sebagai ‘Neymar Malaysia’.

Gelaran-gelaran ini diberikan oleh penyokong. Sama ada kerana gaya ketika aksi di atas padang, mahupun kerana kelincahan yang dipamerkan; persamaan langsung dengan bintang bola sepak dunia seperti Messi dan Neymar sering digunakan.

Lupakan sifat cang­gung di sebalik gelaran-gelaran tersebut. Jika kini kita sudah mempunyai dua Messi dn satu Neymar yang beraksi di kancah saingan tempatan, tahukah anda bahawa negara masih mempunyai seorang lagi Neymar yang sedang menuntut di sebuah akademi bola sepak di England?

Mohd Yusry Haziq Idris

Jika nama adik Mohd. Yusry Haziq Idris dilontarkan kepada mana-mana peminat bola sepak di dalam negara, kami percaya tidak ramai yang mengenali nama ini. Anak kelahiran Limbang, Sarawak ini dilahirkan pada 18 Januari 2002. Bakatnya di dalam bidang sukan mulai terserlah ketika zaman kanak-kanak lagi.

Pada tahun 2012, beliau telah mewakili daerah Limbang di dalam sukan bola sepak untuk pertandingan peringkat umur Bawah 12 tahun, sebelum dipanggil untuk mewakili negeri pada tahun berikutnya.

Selain daripada sukan bola sepak, adik Yusry turut aktif di dalam acara balapan dan padang, mewakili sekolah dan daerah di dalam pelbagai acara.

Prestasi cemerlang bersama kem negara sepanjang kejohanan Piala SuperMokh pada edisi 2015, menyebabkan Yusry ditawarkan tempat ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar.

Namun demikian, Yusry terpaksa menolak tawaran tersebut sebelum Yusry diserap masuk ke sekolah sukan negeri Sarawak, iaitu SMK Tabuan Jaya di Kuching agar berada lebih dekat dengan keluarga.

Program Million Dollar Feet (MDF)

Walaupun menolak tawaran untuk menyertai program NFDP di SSTMI, Bandar Penawar, keputusan tersebut tidak pernah melunturkan semangat anak muda ini untuk mencari ilmu.

Pada 2016, satu program realiti dikenali sebagai Program Million Dollar Feet (MDF), yang dipelopori oleh legenda Liverpool, Steve McMahon mengambil tempat di beberapa lokasi di seluruh negara.

MDF ialah sebuah program realiti yang mencari bakat tersembunyi, untuk dibawa ke United Kingdom sebelum pelatih diberi peluang untuk memikat pencari bakat di sana.

Adik Yusry turut tidak ketinggalan mengambil bahagian. Dan setelah saringan dilakukan daripada lebih 10,000 peserta pada tahun itu, nama Yusry Haziq Idris dan Adam Roshan Kris daripada Kuala Lumpur, berjaya mendapat tempat untuk ke UK.

Kekangan dana dan birokrasi

Bukan sahaja Yusry Haziq dan Adam Rosham diumumkan sebagai pemenang MDF. Kedua-duanya turut ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Brooke House College Football Academy di Leicestershire, England mulai September 2017.

Namun disebabkan oleh beberapa kekangan, adik Yusry terpaksa melupakan seketika impian untuk menuntut ilmu di luar negara.

Walaupun yuran pengajian ditaja sepenuhnya oleh program tersebut, adik Yusry masih memerlukan dana untuk menampung kos perbelanjaan tambahan seperti kos pengangkutan, yuran peperiksaan dan kos-kos lain yang tidak disertakan di dalam biasiswa tersebut.

Selain daripada kekangan dana, adik Yusry turut dikatakan tidak mendapat pelepasaan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS).

Tajaan pelbagai pihak

Walaupun gagal mendaftar di Brooke House College Football Academy pada September lalu, Pengarah MDF, Peter de Kretser masih yakin akan bakat Yusry, dan bersedia menangguhkan pengajian anak muda ini sehingga segala kemelut diselesaikan.

Atas usaha ayahnya, Idris Ismail, akhirnya beberapa pihak tampil untuk menghulurkan bantuan.

Antara yang tampil menjanjikan bantuan ialah Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dengan dana sebanyak RM10,000.

Persatuan Bola Sepak Limbang turut tampil dengan bantuan bernilai RM10,000, selain daripada beberapa individu kenamaan dan syarikat swasta yang lain yang turut berjanji menghulurkan bantuan.

Namun janji tinggal janji. Ada di antara mereka mungkin hanya menggunakan adik Yusry untuk menagih populariti semata-mata. Bantuan yang dijanjikan, tidak kunjung tiba.

Terus berjuang

Tidak mahu melepaskan peluang lagi, akhirnya adik Yusry akhirnya diterbangkan ke United Kingdom pada Februari lalu.

Menurut ayah beliau, selepas ditolak segala kos dan keperluan, sumbangan dari pelbagai pihak hanya berbaki £1818 (sekitar RM10,000) untuk perbelanjaan sepanjang tempoh dua tahun pengajian di UK.

Sudah tentu jumlah itu tampak kecil. Namun bagi adik Yusry, apa yang penting sekarang ialah fokus ketika mengikuti pengajian di Brooke House College Football Academy.

Akademi yang ditubuhkan pada 2008 itu pada masa ini memiliki 70 pelatih daripada pelbagai latar belakang dari seluruh dunia.

Kini berusia 16 tahun, ini bermakna Yusry berpeluang memikat mana-mana pencari bakat dari seluruh eropah dalam tempoh masa dua tahun akan datang.

Sekiranya berjaya, menjelang usia 18 tahun,Yusry akan ditawarkan kontrak pertama sebagai pemain bola sepak profesional.

Antara pelatih Brooke House College Football Academy yang telah ditawarkan kontrak profesional oleh kelab Eropah ialah Jesse Sekidika oleh Benfica dan juga Nikolai Todorov oleh Nottingham Forest.

Salah seorang lagi produk akademi ini, Mark Tan turut telah beraksi bersama skuad kebangsaan Hong Kong sejak 2015.

Yusry ketika dihubungi oleh pihak kami menjelaskan beliau menggemari posisi sebagai pemain tengah. Namun di akademi berkenaan, jurulatih mendedahkan pelbagai posisi untuk beliau, untuk mencungkil potensi sebenar yang dimiliki Yusry.

Seperti ayahnya, Yusry turut mengharapkan dirinya berjaya memikat kelab-kelab eropah satu hari nanti.

Pengorbanan seorang ayah

Perjalanan Mohd. Yusry Haziq Idris untuk bergelar pemain profesional di Eropah masih lagi jauh.

Namun kita tidak boleh menafikan, bahawa beliau berada di landasan yang tepat untuk pergi jauh di dalam bidang bola sepak.

Kami berkesempatan untuk menghubungi ayah beliau, Encik Idris Ismail baru-baru ini. Menurut Encik Idris, segalanya telah tersedia untuk anaknya mencapai impian beliau.

Namun demikian, Encik Idris tetap mengharapkan pihak berwajib tampil membantu terutama dari segi kewangan.

Kesulitan yang dialami oleh adik Yusry menyebabkan ayahnya yang turut mengalami masalah kesihatan terpaksa turun naik ke pejabat-pejabat kerajaan dan orang kenamaan untuk mendapatkan bantuan.

“Dana itu diperlukan kerana kami tidak mampu menyediakan kos tersebut memandangkan tahap kesihatan saya tidak mengizinkan, dan tidak mampu bekerja kerana menghidap sakit saraf sejak lima tahun yang lalu,” ujar Idris kepada kami.

Sebagai ayah, Encik Idris turut mengharapkan Yusry mampu membantu mengharumkan nama negara di dalam arena bola sepak satu hari nanti.

Rumusan

Apa pun yang kita lakukan di dalam hidup, ia harus datang dengan matlamat. Untuk mengejar matlamat tersebut, ia turut akan mengundang pengorbanan.

Itulah pengorbanan seorang bapa, Idris Ismail demi melihat anaknya, Yusry mampu mencapai cita-cita beliau sebagai pemain bola sepak profesional satu hari nanti.

Sebagai pengikut bola sepak tanah air, kami turut mengharapkan impian adik Yusry turut menjadi realiti satu hari nanti.

Bagi pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada adik Yusry, anda boleh menghubungi Encik Idris Ismail di talian 01129913046.

Selamat Maju Jaya adik Yusry!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN