Neymar Cedera Lagi… Selepas Parti Hari Jadi

Neymar terpaksa disisihkan daripada skuad Paris Saint-Germain (PSG) untuk perlawanan Ligue 1 menentang Nantes pada awal pagi esok (waktu Malaysia) akibat kecederaan rusuk.

Pemain antarabangsa Brazil itu sebelum ini mengalami kecederaan dalam perlawanan menentang Montpellier dan menerima rawatan ketika perlawanan.

Namun, Neymar kelihatan tidak mengalami masalah dan berparti untuk menyambut hari lahir ke-28 di sebuah kelab malam di Paris, 24 jam selepas perlawanan menentang Montpellier.

Pengurus pasukan, Thomas Tuchel berkata pemilihan pemain di dalam pasukan tidak dipengaruhi oleh tempoh parti hari jadi tersebut.

“Adakah itu cara terbaik untuk mempersiapkan diri menjelang perlawanan? Tidak. Jelas sekali tidak,” kata Tuchel.

“Adakah ia perkara paling teruk dilakukan di dunia? Tidak.

“Saya sentiasa melindungi pemain saya dan amat sayangkan pasukan yang saya bimbing. Apabila parti sebegini diadakan, saya terima ia agak sukar untuk melindungi pemain, tetapi konteks keseluruhan tidak semestinya harus ada hitam putih,” tambah Tuchel lagi.

“Ia perkara memalukan kerana kita memberi peluang untuk orang bercakap mengenai perkara buruk mengenai diri kita. Kami harus belajar untuk mengadaptasi diri dengan situasi sebegini.

“Tetapi saya tidak akan meletakkan pemain di bangku simpanan, atau di rumah hanya kerana mereka meraikan [hari jadi].”

Neymar bukan satu-satunya pemain yang Tuchel persoalkan pada minggu ini selepas video beliau dan Mbappe di kawasan teknikal padang yang kelihatan tegang menjadi tular.

Namun pengendali dari Jerman itu pantas berkata tidak ada perkara peribadi mengenai perselisihan tersebut.

“Tiada perkara peribadi. Perkara sebegini memang akan berlaku.

“Ia adalah mengenai seorang pemain yang enggan dikeluarkan dan mahu terus beraksi, dan seorang jurulatih yang mempunyai sebab untuk melakukan sesuatu dan memberikan peluang kepada pemain lain.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram