Pengambilalihan Newcastle United: Premier League Enggan Terburu-Buru

Newcastle United

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Premier League, Richard Masters mengakui pihaknya tidak akan terburu-buru dalam membuat keputusan berhubung isu pengambilalihan Newcastle United.

Public Investment Fund yang diketuai oleh Putera Mahkota Mohammed Bin Salman, seperti diketahui sedang menantikan lampu hijau dari Premier League untuk melengkapkan proses peralihan ‘tampuk kepimpinan’ Newcastle United dengan jumlah bernilai £300 juta dari Mike Ashley.

Sekiranya proses tersebut berjalan dengan lancar, syarikat dari Arab Saudi itu akan memiliki 80 peratus saham Newcastle United manakala bakinya masih menjadi pegangan PCP Capital Partners milik Amanda Staveley dan Reuben bersaudara.

Masters bagaimanapun mengakui tidak akan tergesa-gesa untuk memuktamadkan perkara tersebut dan turut mengakui tidak ada jangka masa ditetapkan bagi menyelesaikan proses itu.

”Saya tidak merasakan masa menjadi masalahnya di sini. Saya tidak berpendapat bahawa kami mempunyai pandangan khusus tentang bila perkara ini dapat diselesaikan.”

”Apa yang perlu kita pastikan adalah semua proses diikuti dengan benar dan apabila keputusan dibuat, itu adalah proses yang tepat.”

Embed from Getty Images

”Pengambilalihan dalam bola sepak adalah proses yang sangat sulit sehingga saya tidak dapat untuk mengatakan apa-apa dan tidak boleh juga mengatakan apa-apa yang boleh menjejaskan perbincangan tersebut,” ujar Masters menurut laporan Goal.

Sebelum ini, bekas pemilik The Magpies, Sir John Hall memberikan peringatan kepada bakal ‘tuan baharu’ kelab tersebut supaya menguruskan pasukan dengan cara yang betul dan tidak hanya menaburkan wang ringgit semata-mata.

”Newcastle adalah sebuah kota yang penuh dengan semangat, sama seperti Liverpool, di mana bola sepak telah tersemat di dalam hati masyarakat.”

”Sekiranya ia benar, saya ingin melihat pemilik baharu tidak hanya akan mengeluarkan wang dengan cara yang tidak bertanggungjawab, tetapi sebaliknya perlu membina kelab bola sepak ini dengan cara yang betul.”

”Mereka perlu melibatkan diri dalam komuniti, melabur untuk akademi, padang latihan dan bandar tersebut secara keseluruhannya.”

Kredit featured image: Mark Runnacles/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai pengambilalihan Newcastle United:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram